Acara perlepasan lebih 1,500 orang peserta pertandingan tersebut dilangsungkan di Isuzu Alor Setar 3S Centre sebelum diteruskan ke Alor Mengkudu, Pendang, Bukit Jenun, pit stop di Indah Utara Industri Sdn Bhd dan kembali semula ke Isuzu Alor Setar.
Acara perlumbaan berbasikal ini dianjurkan bagi mempromosikan sukan berbasikal sebagai sebuah gaya hidup yang sihat dan membina semangat patriotik di kalangan komuniti lokal bersempena Hari Malaysia.
Ketika upacara perlepasan, presiden Alor Setar LM Bikers Club, Poh Cheng Hai melahirkan penghargaan ke atas usaha yang dijalankan bersama Indah Utara dan Isuzu Malaysia Sdn Bhd sebagai salah satu acara terbesar di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki turut bersetuju bahawa acara berbasikal ini seiring dengan promosi gaya hidup sihat yang sinonim dengan jenama Isuzu itu sendiri, selain memberikan manfaat kepada produktiviti individu dan juga negara.
Dalam masa yang sama, Pengarah Urusan Indah Utara Poh Seng Hooi teruja kerana dapat menganjurkan satu acara yang mampu mengeratkan hubungan di antara syarikatnya dan juga masyarakat tempatan buat kali ke-10 tahun ini.