Lebih 50 jalan rosak di Johor akibat banjir - Exco

oleh Mohamad Hanif|
sumber: Bernama
Lebih 50 kerosakan jalan raya melibatkan jalan-jalan utama di daerah Segamat, Mersing, Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang telah dikenal pasti akibat bencana banjir yang melanda tahun ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan menyegerakan kerja membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana tersebut sebaik sahaja air banjir surut.

"Bagi kerosakan yang biasa Insya-Allah tak mengambil masa lama mungkin (dalam) seminggu dua, tetapi untuk kerosakan yang membabitkan runtuhan tanah, cerun, jambatan dan sebagainya (dijangka) akan mengambil masa lebih lama.

"Jumlah ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa berikutan keadaan banjir yang belum surut. Buat masa ini, pihak terlibat seperti Jabatan Kerja Raya dan syarikat konsesi masih dalam peringkat mengenal pasti lokasi terlibat di seluruh negeri," katanya, dalam satu kenyataan, selepas mempengerusikan Mesyuarat Task Force Banjir negeri, di sini, hari ini.

Mohamad Fazli, berkata setakat ini, pihaknya masih dalam operasi mengenal pasti jumlah infrastruktur terlibat termasuk meneliti kaedah baik pulih yang yang bersesuaian.

Beliau berkata kerja membaik pulih itu akan melibatkan peruntukan di bawah kerajaan negeri serta Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) yang dijangka menelan kos sehingga RM50 juta.

"Kerja pembaikan segera ini turut melibatkan kerosakan paip air yang pecah serta pencawang elektrik yang musnah.

“Bagaimanapun, saya yakin bekalan air bersih di Johor masih mencukupi. Malah, pihak Syarikat Air Johor akan membantu menghantar bekalan air selamat khususnya di pejabat kerajaan yang berkepentingan awam seperti klinik dan hospital, " katanya.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Biasanya kami tidak buat extension (melanjutkan insurans sedia ada di Malaysia bagi perlindungan…
Berita Domestik
"Selalunya kami dapat menjual kira-kira 1,000 pakej insurans setiap hari dari Jumaat hingga Ahad…
Informasi
“Antara gambar kereta mangsa yang sempat diambil, semoga bertabahlah. Banyak lagi yang terkandas…