"Mangsa tertarik untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard 3.5 secara ansuran bulanan.
"Mangsa kemudian berhubung dengan suspek yang menyamar sebagai penjual, melalui aplikasi Whatsapp' sebelum diminta membuat bayaran berjumlah kira-kira RM17,000 kononnya untuk tujuan insurans, cukai jalan dan urusan JPJ," katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa hari kemudian, Ahmad Azizul berkata, mangsa membuat beberapa transaksi bayaran ke satu akaun bank tempatan dikatakan milik pekerja suspek.
Pada 2 April lalu, katanya, mangsa dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang wanita mendakwa sebagai pekerja suspek.
Beliau berkata, mangsa diminta membuat bayaran RM7,000 ke akaun bank tempatan yang sama kononnya bagi tujuan pendaftaran dan kos penghantaran kenderaan terbabit.
"Pada petang sama, wanita itu meminta mangsa membuat bayaran deposit RM15,000 ke satu akaun bank tempatan yang lain milik individu berbeza. Mangsa terus membuat bayaran itu melalui tiga transaksi pindahan wang.
"Mangsa berasa tertipu apabila suspek wanita terbabit mendakwa tiada menerima wang deposit berkenaan dan meminta mangsa membuat bayaran RM15,000 itu secara sekali gus dalam satu transaksi saja. Secara keseluruhan, mangsa mengalami kerugian RM39,000," katanya.
Susulan itu, beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Sabtu lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.