Biarpun berkongsi platform, Lexus RZ 450 e tampil dengan imej dan penggayaan yang tersendiri untuk disesuaikan dengan jenama mewah dari Jepun itu.
Dari segi penampilan, Lexus RZ 450e didatangkan dengan unit lampu utama serba baharu, rekaan 'gril' depan kosong Spindle, cladding arka roda yang lebih bulat, unit lampu belakang LED yang memanjang, serta terdapat spoiler ekor itik di bahagian tersebut.
Perbezaan yang besar berbanding adik-beradik e-TNGA yang lain adalah penawaran kuasa.

Ini kerana, Lexus RZ secara standard didatangkan dengan padanan motor elektrik berkembar yang mampu menghasilkan kuasa 309 hp dan 435 Nm, sistem pacuan semua roda Direct4, serta pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.6 saat.
Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 160 km/j sahaja.

Selain itu, ia juga merupakan model Lexus pertama yang didatangkan dengan sistem elektronik Direct4, di mana ia mampu mengagihkan daya kilas kepada gandar depan atau belakang dari 0 hingga 100 peratus dalam tempoh beberapa milisaat sahaja.
Sebagai perbandingan, Toyota BZ4X dalam versi yang paling berkuasa hanya ditawarkan dengan output 215 hp dan 309 Nm.
Disebabkan kuasa yang dihamburkan, Lexus RZ mampu menawarkan jarak pemanduan sejauh 450 km mengikut data J-WLTC (atau lebih 400 km mengikut WLTP Eropah).

Ruang kabin pula membawakan evolusi kokpit digital Lexus Tazuna, menampilkan kluster instrumen yang kompak diikuti dengan skrin tengah bersaiz 14 inci yang sengaja diposisikan ke arah pemandu - sama seperti model Lexus yang lain.
Lexus turut menawarkan opsyen roda stereng One-Motion Grip (stereng yoke) untuk mereka yang mahukan kelainan atau berpura-pura menyampah dengan penawaran roda stereng konvensional.
Penggunaan bahan upholsteri premium sudah semestinya wujud, diikuti dengan sistem pencahayaan ambien, sistem pemanasan untuk pemandu dan penumpang depan, serta bumbung panoramik dengan cermin yang boleh dimalapkan secara automatik.

Tidak ketinggalan, sistem keselamatan Lexus Safety System+ 3.0 yang merangkumi sistem pra-pelanggaran, kawalan jelajah dinamik radar, serta Proactive Driving Assist yang akan melaraskan kawalan stereng mengikut arah jalan berdasarkan data yang diperoleh daripada kamera depan.
Harga jualan masih belum diumumkan, namun ia nampaknya sudah pun boleh ditempah oleh pelanggan Lexus di luar sana.