Lexus UX 200 Luxury - magis TNGA dalam pakej yang lebih mewah

oleh Mohamad Hanif|
Satu kenyataan yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana pengeluar, waima Lexus sendiri yang memulakan perniagaan dengan sedan - populariti SUV yang kian meningkat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Penulis yakin, anda boleh melihat sendiri Lexus kini sudah sebaris dengan pengeluar kereta mewah dari segi penawaran produk SUV - dari SUV bersaiz besar seperti GX dan LX, sehinggalah kepada penawaran crossover urban, seperti NX, RX dan yang terbaharu UX.

Untuk pasaran Malaysia, Lexus UX sebenarnya telah pun mendarat secara rasmi pada tahun lalu yang didatangkan dalam tiga pakej - UX 200 Urban, UX 200 Luxury dan UX 200 F-Sport.
 

UX


Setelah pandu uji ringkas yang dibuat tahun lalu, penulis berkesempatan untuk menguji sekali lagi crossover kecil dari Lexus ini untuk tempoh yang lebih lama, dan jarak perjalanan yang lebih jauh.

Almaklumlah, kena merentas negeri untuk menguruskan salah satu perkara wajib dalam beragama. Jadi, penulis gunakan sehabis mungkin peluang ini untuk memerah setiap aspek, terutama dari segi pemanduan, keselesaan dan ciri keselamatan yang dimuatkan.

Berikut merupakan beberapa input yang penulis sempat catatkan:
 

1. Magis TNGA

UX


Lexus memanfaatkan platform TNGA-C daripada syarikat induknya Toyota untuk membangunkan crossover mewah kecil ini.

Jika anda masih ingat, TNGA-C juga merupakan 'tulang belakang' kepada model-model moden Toyota seperti Corolla sedan, Corolla Cross, dan juga Toyota C-HR yang sudah dihentikan penjualannya di Malaysia.

Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan pemanduan Corolla dan C-HR, anda sebenarnya tidak perlu risau kerana Lexus UX ini sebenarnya menawarkan pengalaman pemanduan yang hampir serupa.
 

UX


Ini kerana, platform TNGA-C sebenarnya menawarkan kadar ketegaran yang jauh lebih baik serta titik graviti yang lebih rendah, menyumbang kepada pemanduan dan pengendalian yang lebih menyeronokkan.

Karakter sebenar Lexus UX boleh dirasai terutama ketika ia dibelasah pada laluan berliku dan berselekoh, seolah-olah anda membawa sebuah kereta sports aras mula dalam pakej crossover.

Namun, pemanduan dalam bandar tidak kurang menariknya, di mana ia menawarkan kualiti pemanduan yang serba senyap, seperti yang anda boleh harapkan daripada sebuah Lexus.  

Sebab apa? Lihat poin nombor dua.

 

2. Kuasa

UX


Lexus UX tidak menampilkan enjin kecil dengan unit janaan kuasa paksaan, sebaliknya crossover kecil ini menggunakan enjin Dynamic Force 2.0 liter aspirasi natural dengan kuasa setinggi 169 hp dan daya kilas 205 Nm.

Rahsia UX yang dirasakan sedap ini sebenarnya terletak pada komponen transmisi yang digunakan, iaitu CVT Direct Shift 10 nisbah kelajuan.

Ini kerana tidak seperti kotak gear CVT konvensional, CVT Direct Shift Toyota mempunyai sebuah gear mekanikal yang digunakan untuk tujuan permulaan pemanduan, menjadikan pecutan dan respons yang lebih sporti dan dalam masa yang sama menawarkan kadar penggunaan bahan api yang jauh lebih baik.
 

UX


Malah tidak seperti transmisi CVT tipikal, CVT Direct Shift yang digunakan pada Lexus UX ini tidak menghamburkan bunyi bising, menjadikan pemanduan yang jauh lebih selesa tanpa perlu merungut di dalam hati.

Berdasarkan pemanduan jarak jauh yang dibuat, setangki penuh mampu membolehkan UX 200 ini bergerak sehingga 565 km dalam keadaan pemanduan yang santai dan sporti sekali-sekala.

Almaklumlah, tangan dan kaki ni bila jumpa selekoh, memang gian nak melenjan. Ditambah pula pakej TNGA-C yang wujud dalam UX ini.


3. Selesa

UX


Platform TNGA-C sebenarnya menawarkan satu lagi kelebihan - ruang kabin yang cukup selesa dan luas.

Luas dalam erti kata, cukup selesa untuk digunakan dalam pemanduan urban, pemanduan santai, serta pemanduan jarak jauh.

Susun atur papan pemuka sengaja buat menghadap pemandu bagi memberikan lebih keyakinan untuk mengendalikan SUV ini, sementara rekaan konsol tengah yang tinggi direka untuk memudahkan pemandu merehatkan tangan kirinya seketika terutama setelah pemanduan yang mengujakan.
 

UX


Aspek pemanduan diserikan dengan penggunaan suspensi hadapan MacPherson dan suspensi belakang double wishbone yang mampu memastikan pengendalian yang meyakinkan terutama ketika menyelusuri jalan-jalan lama.

Meyakinkan, dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang cukup selesa untuk sebuah Lexus aras mula.
 

4. Cantik luar, cantik di dalam

UX


Cantik di sini merupakan satu perkara yang cukup subjektif, dan bagi penulis yang merupakan peminat Lexus LFA sejak dari azali, kehadiran elemen supercar itu dalam UX sememangnya amat dihargai.

Sekurang-kurangnya, mampu membuatkan rindu terubat. (Cehh)

Rekaan luar Lexus UX dimulakan dengan penampilan gril spindle tipikal Lexus yang diapit dengan dua unit lampu utama dengan lampu DRL terintegrasi yang serba tajam itu.

Jika anda perasan, rekaan perumah lampu sisi itu kini dibawakan pada model-model segmen B Toyota Vios dan Yaris.
 

UX


Apa yang penulis suka adalah rekaan lampu belakang yang melintang penuh, dan dalam masa yang sama boleh bertindak sebagai sebuah spoiler. Menarik bukan?

Memasuki ruang kabin, anda akan disambut dengan tempat duduk balutan kulit dengan motif sashiko, elemen kertas Jepun Washi pada papan pemuka, serta susun atur kluster instrumen, skrin tengah serta butang kawalan iklim yang sengaja diposisikan menghadap pemandu.
 

UX
kemasan washi pada papan pemuka


Harus diketahui, skrin tengah 10.3 inci itu tidak didatangkan dengan fungsi sentuhan, anda perlu menggunakan pad tetikus yang terdapat pada bahagian konsol tengah.

Walaupun ada kalanya sedikit sukar untuk digunakan, namun pada hemat penulis, ia bukanlah satu masalah besar memandangkan kebanyakan masa ditumpukan pada aspek pemanduan yang cukup melazatkan itu, sambil menikmati hidangan bunyi yang mengasyikkan daripada sistem Lexus Premium Audio.

Tambat sahaja peranti pintar menggunakan Apple CarPlay atau Android Auto, selesai masalah!
 

UX


Skrin kluster instrumen pula boleh ditukar paparannya mengikut mod pemanduan (Eco, Normal dan Sport), di mana penulis cukup suka dengan paparan mod Sport yang ala-ala LFA itu.

Namun, untuk 'pengalaman' LFA yang lebih menarik, anda boleh dapatkan varian F-Sport (berharga RM299k) yang hadir dengan rim sporti, paddle shifter, paparan kluster seperti Lexus FLA dan tambahan dua mod iaitu Sport+ dan Custom.

 

5. Pakej Ruang dan Keselamatan

UX


Lexus UX 200 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,495 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,520 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,640 mm, dengan kapasiti tangki bahan api sebesar 47 liter dan ruang kargo sebesar 271 liter.

Dari luar, anda mungkin nampak kabin sekaan kecil dimensinya, namun perasaan tersebut hilang setelah duduk sendiri di dalam. Seperti yang telah disebut tadi, tiada masalah untuk orang dewasa duduk dengan selesa di dalamnya.

Bagi penulis, angka 271 liter untuk ruang kargo itu tidaklah terlalu kecil memandangkan ia boleh ditambah dimensinya dengan melipat tempat duduk baris kedua.
 

UX
Bila kali terakhir anda balik kampung?


Cuma rekaan lantai ruang kargo Lexus UX yang agak tinggi itu mungkin menyukarkan sesetengah pihak untuk memuat naik atau menurunkan barang.

Untuk sebuah crossover mewah aras mula yang berharga RM283,888, Lexus UX menawarkan kelengkapan keselamatan yang cukup menarik seperti lapan beg udara, ABS, EBD, VSC, kawalan cengkaman, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX dan juga Active Cornering Assist.

Tidak ketinggalan, kelengkapan Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri seperti

  • Amaran Pra-pelanggaran Hadapan
  • Kawalan Pelayaran Radar Dinamik
  • Bantuan Pengesan Laluan
  • Amaran Keluar Laluan
  • Sistem Suluhan Tinggi Adaptif
  • Sistem Pemantauan Titik Buta
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang
  • Panoramic View Monitor

 

Lexus UX


Sebagai konklusi, Lexus UX 200 Luxury merupakan salah satu pilihan crossover mewah aras mula yang terbaik untuk anda pertimbangkan dari sebuah jenama Jepun, menawarkan pengendalian yang sporti bak kereta sports, serta pemanduan yang cukup selesa tidak kira untuk perjalanan urban mahupun pemanduan merentas negeri.

Atau mungkin anda sudah jemu dengan barisan SUV jenama Continental?
 

UX


Spesifikasi ringkas Lexus UX 200 Luxury 2020
Enjin: Dynamic Force 2.0 liter aspirasi natural
Kuasa: 169 hp, daya kilas 205 Nm
Transmisi: Direct Shift CVT 10 nisbah kelajuan
Pecutan: 0-100 km/j dalam 9.2 saat
Kelajuan tertinggi: 190 km/j
Harga: RM283,888

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…