Lima golongan yang sesuai beli sedan Mercedes-Benz A 200 2023

oleh Mohamad Hanif|
Sedan merupakan salah satu model terpenting untuk Mercedes-Benz Malaysia, dan disebabkan itu anda kini menyaksikan A-Class hanya ditawarkan dalam versi sedan sahaja di sini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sementara A-Class hatchback hanya wujud dalam versi AMG sahaja, sesuailah dengan sifatnya sebagai sebuah hot hatch berharga setengah juta.
 

A200


Berbalik semula kepada sedan, penulis boleh sifatkan model A-Class merupakan 'pintu masuk' bagi eksekutif muda yang mahu berjinak-jinak dengan jenama Mercedes-Benz.

Dengan harga jualan bermula dari RM238,888, A 200 merupakan 'baby Mercedes' yang paling mampu milik ada di pasaran Malaysia.

Perubahan yang dibawakan pada model facelift ini adalah lebih bersifat kosmetik terutama pada bahagian luar, dan lebih minimalis di bahagian ruang kabin.

Setelah memandu uji beberapa hari, penulis boleh simpulkan A 200 2023 facelift ini sangat sesuai untuk lima golongan berikut:

 

1. Golongan yang mahukan kereta mewah, roadtax murah

a200


Ya, ini merupakan salah satu sedan mewah yang sesuai dengan 'bajet' anda.

Harga jualan bawah RM250k, dan paling penting cukai jalan tahunan memang murah.

Ia disebabkan oleh penggunaan enjin empat silinder sebaris M282 1.3 liter turbo yang dibawakan daripada model terdahulu.

Lagi murah kalau nak banding sedan segmen C yang lain bro!
 

2. Golongan yang mahukan sedan rasa premium, dengan prestasi yang biasa-biasa sahaja

A200


Atas kertas, enjin 1.3 liter turbo itu mampu menjana kuasa setinggi 163 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 250 Nm @ 2,000-3,500 rpm, dengan pecutan 0-100 km/j sama pantas dengan Civic 1.5L turbo.

Ia bukanlah jenis kereta yang boleh dipaksa untuk pergi pantas macam geng-geng 'tekan-tekan pergi' selalu dambakan, tapi bagi penulis, ia sudah lebih daripada memadai untuk kegunaan seharian.

Yang paling penting, A 200 sedan ini tidak lagi macam A 200 sedan versi CBU yang terdahulu, ia tidak lagi malas untuk bergerak apabila dikerah, dan pemanduan juga dirasakan lebih lancar dan kurang gegaran apabila memasuki julat kelajuan tiga digit.

Selain daripada fakta ia sebuah sedan yang jimat minyak, A 200 juga ternyata mampu menawarkan pemanduan yang selesa dan lancar, walaupun ia sebenarnya dilengkapi dengan tetapan torsion beam pada gandar belakang!

 

3. Pemandu wanita

A200


Pada pendapat penulis, A 200 sedan ini sangat sesuai untuk dipandu oleh golongan wanita bekerjaya yang mahu mencari sedan bergaya pada harga yang 'mampu milik'.

Ini kerana A 200 sedan facelift ini menawarkan aspek pengendalian yang boleh dipercayai, terima kasih kepada respons stereng yang ringan dan tidak memenatkan tangan yang memulas sepanjang masa.
 

A200


Susun atur papan pemuka juga tidak terlalu berserabut, dan tidak pula menjadikan ruang kabin terlalu sempit untuk sebuah sedan Mercedes aras mula.

Kamera undur A 200 sedan ini juga cukup tajam paparannya, kalau ada individu yang duduk menghadap kamera undur sedan ini anda mungkin akan perasan beberapa biji jerawat pada bahagian mukanya.

Seperkara lagi, sistem pencahayaan ambien A 200 boleh diubah mengikut mood semasa pemandu, dan paling penting ia memang mesra mata memandang, tidak seperti model EV Mercedes-Benz yang ada di pasaran.

 

4. Pemandu solo/pasangan tanpa anak

A200


Kelebihan yang ada pada sedan A 200 ialah reka bentuk yang praktikal dengan ruang kargo sebesar 420 liter di bahagian belakang.

Sememangnya cukup luas dan besar untuk menampung dan meletakkan segala barangan keperluan pejabat atau keluarga kecil anda.

Ia juga boleh dibuka dengan mudah menerusi butang fungsi khas yang wujud pada fob kunci.
 

a200


Cuma jangan letak kunci ini pada bahagian poket belakang, kerana anda mungkin secara tidak sengaja boleh membuka bonet belakang tanpa disedari sewaktu duduk makan di restoran.

Sistem pendingin hawa yang cukup cemerlang, sejuk sepanjang masa, dan lebih mudah dioperasikan berbanding sistem penyejuk yang wujud pada EQE dan EQS.
 

A200


Aneh bukan? Kereta yang lebih murah, sistem pendingin hawa jauh lebih bagus berbanding kereta yang jauh lebih mahal.

Anda tidak suka bawa penumpang di belakang? Bagus, jangan susahkan mereka kerana A 200 ini tidak langsung mempunyai corong pendingin hawa baris kedua.

 

5. Bukan geng baik beli....

A200


Pada julat harga di bawah RM250 ribu, anda sebenarnya memang boleh mendapatkan sedan Mercedes-Benz A 200 dengan kelengkapan mewah aras mula yang tidak begitu menyeluruh, kelebihan dan kekurangan yang kami sebutkan di atas, namun dengan sistem infohibur yang setanding dengan model Mercedes yang lebih mahal. Noktah.

Itu adalah lima golongan yang penulis percaya sesuai untuk membeli dan memandu sebuah sedan mewah aras mula daripada Mercedes-Benz.
 

A200


Jika anda tergolong didalam kategori geng baik beli, anda mungkin boleh mempertimbangkan sedan Jepun segmen D yang lebih besar, ciri dan fungsi yang lebih mewah, serta cukai jalan tahunan yang jauh lebih mahal.

Apapun, terpulang kepada kehendak dan keperluan peribadi. Tiada salahnya untuk cuba dan uji sendiri sedan A 200 ini, sebelum menyerahkan segalanya kepada pihak bank untuk proses berikutnya.

Jika anda sudah memiliki sedan 'baby Mercedes' ini, kami mahu mengucapkan selamat datang ke dunia Mercedes-Benz.

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…