Lima kereta rosak dihempap pokok tumbang

oleh Penyumbang Rencana|
Lima kenderaan rosak akibat ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Jalan PJU 5/15, Kota Damansara, Petaling Jay, susulan hujan lebat, petang Rabu.

Ketika kejadian, semua kenderaan di parkir di lokasi berkenaan yang juga sebuah kawasan perniagaan ketika pokok itu tumbang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Laporan kejadian diterima Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor jam 3.36 petang.

Sepasukan anggota bersama jentera FRT dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7 bergegas ke lokasi untuk tugas memotong dan pembersihan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata lima kenderaan yang rosak terdiri sebuah Perodua Axia, Proton Saga BLM, Nissan Almera, Honda City dan Honda City Hatchback.

"Semua kenderaan itu sedang di parkir dan kejadian tidak membabitkan mangsa," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuh batang pokok turut dilaporkan tumbang dan menghalang laluan di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara petang Rabu.

Katanya, kejadian jam 3.31 petang itu tidak membabitkan mangsa dan kerja memotong serta mengalihkan pokok tumbang dijalankan anggota dari BBP Damansara

"Kita turut menerima laporan kejadian pokok tumbang di Jalan KIP, Taman Perindustrian KIP berhampiran Kepong yang menimpa sebuah lori.

"Kejadian dilaporkan jam 3.25 petang itu menyebabkan pemandu lori terperangkap di bahagian pemandu. Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori lelaki berusia 46 tahun itu terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dan anggota dari BBP Sungai Buloh ke lokasi untuk mengalihkan pokok yang tumbang.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala…
Berita Domestik
Beliau berkata sebaik jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai tiba, pihaknya…
Berita Domestik
Pokok dianggarkan sebesar dua pemeluk dewasa atau ukur lilit kira-kira dua meter itu tumbang…