Lotus Elise Classic Heritage Editions - imbau kembali liveri perlumbaan klasik Lotus

oleh Mohamad Hanif|
Seperti biasa, tidak sah sebuah syarikat Lotus tanpa memperkenalkan varian-varian baharu yang lebih unik serta lain daripada yang lain terhadap model sedia ada.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menggunakan platform Lotus Elise, Lotus kini membawakan bukan satu, akan tetapi empat rekaan skema warna sukan permotoran yang ikonik daripada sejarah perlumbaan Lotus itu sendiri menerusi pengenalan edisi Classic Heritage.

Para pelanggan Lotus Elise boleh memilih untuk menggayakan kereta mereka dengan empat pilihan liveri retro yang merangkumi gandingan warna hitam/emas, putih/emas, merah/perak serta biru/putih (sayangnya tiada hijau Lotus).

 


Liveri hitam dan emas datang daripada jentera Type 72D F1 tahun 1972 yang berjaya memenangi lima perlumbaan di tangan Emerson Fittipaldi, manakala liveri merah, putih dan emas pula merupakan homaj kepada jentera Type 49B yang dikendalikan oleh Graham Hill pada tahun 1968.

Sementara itu, liveri biru, merah dan perak pula diinspirasikan daripada jentera F1 Type 81 yang dipandu oleh Nigel Mansell, Elio de Angelis dan Mario Andretti semasa musim F1 1980.

Tidak ketinggalan, liveri biru dan putih pula merupakan rujukan kepada Lotus Type 18, jentera F1 pertama Lotus yang berjaya meraih kedudukan pole di Monaco Grand Prix di tangan Sir Stirling Moss.

 


Lotus Elise Classic Heritage Editions ini turut menawarkan kelengkapan tambahan berbanding Lotus Elise Sport 220 dan antara perkakasan standard termasuklah radio digital DAB dengan empat pembesar suara, pendingin hawa, kawalan pelayaran, rim aloi forged ringan, cakera brek two-piece dan karpet hitam.

Sebanyak 100 unit sahaja akan dibina oleh Lotus, dan setiap kenderaan akan didatangkan dengan plak nombor siri khas yang dipasang pada papan pemuka.

Warna ruang kabin Lotus Elise ini didatangkan dengan layangan warna serupa seperti warna luaran kereta yang merangkumi beberapa bahagian seperti trim pintu, tempat duduk, kemasan pada ruang tombol gear serta kemasan pada papan pemuka.

 


Lotus Elise Classic Heritage Editions ini masih kekal dengan nadi pengecas lampau Toyota berkapasiti 1.8 liter menghasilkan 217 kuasa kuda dan 250 Nm daya kilas yang dipadankan dengan sistem transmisi manual enam kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j pula mampu dicapai dalam masa 4.2 saat dengan kelajuan tertinggi 233 km/j.

Harga jualan Lotus Elise standard pula bermula dari £46,250 (RM247,611), namun jika anda mahukan pakej Classic Heritage Edition, tambahan wang sebanyak £6,350 (RM33,996) adalah diperlukan supaya Lotus Elise anda menerima kelengkapan yang bernilai £11,735 (RM62,826).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kini, terdapat 35,124 unit Lotus Elise telah diproduksikan sejak 25 tahun yang lalu, dan unit…
Berita Global
  Bermula dari tahun 1996 hingga 2000, Elise dan Exige generasi pertama dipasang di sebuah dewan…
Berita Global
Menurut hantaran dari FB Bureau of Customs PH, kesemua 21 unit kenderaan yang dirampas itu…