Kereta lumba Lotus tersebut kini sedia untuk diedarkan, namun dengan beberapa naiktaraf spesifikasi yang jauh lebih berkuasa berbanding apa yang diumumkan sebelum ini.
Pertama sekali, nadi kuasa V6 3.5 liter yang disumberkan daripada Toyota itu telah diberikan penambahan tenaga kepada 455 hp, terima kasih kepada pengecas lampau Harrop TVS 1900, sistem pengurusan enjin Motec, serta kotak gear sekuential Hewland enam kelajuan.
Sebagai perbandingan, angka kuasa kuda asal hanyalah sekitar 400 hp dan dipadankan dengan kotak gear Xtrac, juga enam nisbah kelajuan seperti yang diumumkan sewaktu pelancaran.
Kedua, menerusi kerjasama dengan rakan sukan permotoran RML Group, Lotus turut meningkatkan aspek aerodinamik termasuklah sirip dan sayap untuk kegunaan dalam litar.
Tumpuan juga turut diberikan pada sistem brek, peredam dan sistem penyejukan jentera.
Sama seperti Lotus Evora GT4, Lotus Emira GT4 direka dan dihomologasikan untuk perlumbaan GT4 global, namun ia juga boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan siri perlumbaan lain.
Kumpulan pertama Lotus Emira GT4 akan dihantar ke UK, Eropah, China, Australia dan Amerika Syarikat pada musim panas ini.
Harga untuk sebuah Lotus Emira GT4 bermula dari £179,000 (RM1,067,548).