Dari segi prestasi, kuasa sehingga 905 bhp membolehkan Emeya memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) di bawah 2.8 saat.
Prestasi itu meletakkan Emeya sebagai satu daripada kereta elektrik terpantas di dunia.
Terdapat lima mod pemanduan yang boleh dipilih pemandu seperti Range, Tour, Sport, Individual dan Track.
Pemandu boleh menetapkan ketinggian kereta, kekenyalan suspensi udara, tindak balas pecutan, tetapan kerusi dan pelbagai lagi untuk mengoptimumkan kecekapan dan prestasi.
Dari segi aerodinamik, Emeya mempunyai kadar pekali seretan 0.21 Cd dan daya mendap 150 kilogram (kg) pada 250 km/j.
Tidak hanya bergantung kepada bentuk badan, Emeya dilengkapi perkakasan aktif seperti pengempang udara (air dam) di bawah bampar depan dan spoiler aktif di belakang.
Perkakasan tersebut meningkatkan daya mendap dan kestabilan semasa diaktifkan dan mengurangkan seretan ketika tidak digunakan.
Dari segi pengendalian, sistem suspensi udara kawalan elektronik dengan penderia terbina bertindak balas kepada keadaan jalan raya dan melaras tetapan kereta secara automatik.
Sistem itu berfungsi bagi memberikan pemanduan paling lancar dan optimum.
Menghentikan Emeya ialah brek seramik karbon yang mengurangkan berat dan jarak pembrekan dan turut menyumbang kepada pengendalian dinamik.
Bersama kedudukan pemanduan rendah, setiap bahagian Emeya direka bagi menghubungkan pemandu kepada jalan dan membangkitkan keberadaan di dalam kereta sport Lotus sejati.
Sebagai sebuah GT dan model era baharu, Lotus bermain dengan kemewahan sebagai contoh lima mod urutan kerusi. Bayangkan sebuah Lotus mempunyai kerusi dengan urutan!
Pintu kereta jenis bantuan kuasa memudahkan penumpang. Penderia boleh mengesan halangan supaya pintu tidak dibuka jika terdapat risiko kerosakan.
Selain itu, penderia kaki memudahkan pemandu atau penumpang membuka but tanpa menggunakan tangan bagi memuatkan barang ke dalam but 509 liter.
Ukuran badan yang panjang juga membolehkan penumpang mempunyai ruang kaki luas.
Lampu suasana berubah mengikut keadaan sebagai contoh nyalaan dalam bentuk nadi apabila menerima panggilan telefon atau bertukar kepada hijau apabila kereta dicas.
Satu lagi perkakasan praktikal ialah bumbung kaca panoramik pintar yang mempunyai pilihan kabur untuk pemandu dan terang pada bahagian penumpang.
Skrin besar 15.1 inci definisi tinggi HD OLED menjadi pusat kepada sistem maklumat hibur dengan sistem operasi Lotus Hyper OS.
Sistem itu dikuasakan teknologi permainan Unreal Engine dan bertindak balas dengan pantas dalam masa nyata mengikut tetapan dan arahan pemandu.
Sebagai contoh, sentuhan pada skrin bagi membuka pintu dibuat secara serta-merta.
Walaupun tiada perkakasan fizikal di sebalik stereng, pemandu dibekalkan papar pandu (HUD) realiti terimbuh (AR) yang memaparkan data penting tanpa mengalihkan mata daripada jalan.
Lotus menawarkan enam warna iaitu Solar Yellow, Akoya White, Stellar Black, Kaimu Grey serta dua pilihan baharu Boreal Grey dan Fireglow Orange.
Berkenaan harga, Emeya ditawarkan daripada 94,950 pound (RM570,815) dan 107,450 pound (RM645,938) untuk Emeya S.
Model andalan Emeya R pula daripada 129,950 pound (RM781,068). Tempahan sudah dibuka dan pelanggan di Eropah akan menerima unit mereka bermula suku ketiga 2024.
Penulis: Muhammad Md Tajudin