Tindakan memanggil balik EV jenama Tesla itu berpunca penemuan masalah membabitkan fungsi bantuan pemanduan dan sistem penguncian pintu, yang dikendalikan melalui kemas kini secara jauh (OTA) untuk perisian kereta.
China adalah pembekal komponen global terpenting Tesla termasuk menyumbang pasaran pengguna besar dan terletaknya pangkalan kilang pembuatan utama di Shanghai.
"Bermula hari ini (Jumaat), sejumlah 1,610,105 kereta import Model S, Model X dan Model 3 termasuk Model 3 dan Model Y EV domestik dengan pengeluaran bertarikh antara 26 Ogos 2014 dan 20 Disember 2023 akan dipanggil balik.
"Untuk kenderaan dalam skop panggil balik ini membabitkan fungsi bantuan stereng automatik dihidupkan pemandu mungkin menyalahgunakan fungsi pemanduan bantuan gabungan tahap dua sehingga ia meningkatkan risiko perlanggaran kenderaan dan menimbulkan bahaya keselamatan," kata Pentadbiran Negara untuk Pengawal Selia Pasaran (SAMR) dalam satu kenyataan.
Di samping itu, arahan panggil balik turut termasuk 7,538 unit membabitkan beberapa model Tesla antara 27 Oktober 2022 dan 16 November 2023, yang menemui masalah pada bahagian kawalan logik pintu.
Pada 2022, firma sama memanggil balik hampir 128,000 kenderaannya di China kerana masalah disebabkan oleh kecacatan penyongsang motor belakang.
Hujung tahun lalu, Tesla juga memanggil balik lebih dua juta kenderaan di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada kerana risiko berkait dengan perisian kawalan auto.
Arahan memanggil balik kenderaannya di China baru-baru ini dibuat beberapa hari selepas pesaingnya, BYD melepasi Tesla selaku peneraju EV, demikian menurut data jualan suku keempat.
Fasiliti pengeluaran Tesla di Shanghai adalah kilang gergasi terletak di luar AS, menyaksikan 947,000 kenderaan berjaya dihasilkan tahun lalu.
Sewaktu lawatan ke China pada musim bunga lalu, pemilik Tesla, Elon Musk berkata beliau sanggup memperluaskan lagi kerjasama yang menguntungkan.