MAT REMPIT DIBAWA SOLAT SUBUH BERJEMAAH BERSAMA POLIS

oleh Firdaus Razani|
Dalam Operasi Pencegahan Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie pada Sabtu lalu, seramai 14 penunggang motor telah ditahan dan dibawa bersama untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Kesemua penunggang motosikal itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 3 pagi yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

IPD Sungai Buloh menerusi kenyataan memaklumkan, pemeriksaan sebelum itu dijalankan melibatkan 108 penunggang motosikal.

"Sebanyak 87 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik selain 14 motosikal disita dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai ekzos," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, pendekatan ke arah kerohanian diterapkan kepada penunggang motosikal yang ditahan apabila kesemua mereka dibawa untuk solat Subuh berjemaah.

"Kesemua penunggang motosikal menunaikan solat Subuh di Surau Fazwina IPD Sungai Buloh diimamkan oleh Pegawai Penyiasat BSPT Sungai Buloh, Inspektor Che Hassan Ambok.

"Penerapan elemen kerohanian diterapkan kepada kesemua remaja ini bagi memberikan kesedaran dan pentingnya menghargai nyawa," katanya.

Menurutnya, pihak polis sentiasa mengutamakan kepentingan pematuhan undang-undang jalan raya.

"Polis tidak akan berkompromi dengan kesalahan kelas utama jalan raya terutamanya bagi kesalahan tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan serta perlindungan insurans," katanya.

 

SUMBER : Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Salah seorang daripada suspek dikesan turun ke landasan di Platform 1 dengan sengaja semata-mata…
Berita Domestik
Selain itu, beliau berkata van sekolah yang digunakan dalam kejadian itu juga turut disita.…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata susulan insiden itu…