Malah pada bulan lepas, angka jualan kenderaan elektrik buat pertama kalinya mengatasi angka jualan kenderaan diesel di benua Eropah.
Namun begitu, ia bukanlah alasan bagi pengeluar untuk terus mengabaikan penawaran model tersebut, terutama apabila masih lagi wujud permintaan di kalangan pelanggan.
Mazda seperti contoh, masih lagi mahu kekal menawarkan model diesel selagi mana pelanggan mahukannya.

Bercakap kepada CarExpert, pengurus program Mazda CX-90 Mitsuru Wakiie menjelaskan, "sekiranya pelanggan mahukan diesel, selagi mana kami mampu memenuhi regulasi emisi sedia ada, selagi itulah kami akan terus menawarkannya kepada pelanggan.
Jelas beliau lagi, masih wujud permintaan terhadap enjin diesel di pasaran tertentu, seperti contoh Jepun dan Australia.
Tahun lepas, Mazda mengejutkan industri dengan melancarkan dua buah enjin enam silinder sebaris baharu, termasuklah sebuah enjin diesel turbo berkapasiti 3.3 liter untuk kegunaan crossover generasi baharu mereka.

Di Eropah, enjin diesel e-Skyactiv D tersebut ditawarkan pada model CX-60 dalam versi hibrid ringan, di mana ia mampu menjana kuasa setinggi 251 hp dan 550 Nm, dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 16 hp dan 153 Nm.
Menurut data daripada European Automobile Manufacturers' Association (ACEA), pada tahun 2017 kereta diesel merangkumi 44 peratus pegangan di dalam pasaran kereta baharu di Eropah.
Angka tersebut menjunam kepada 25 peratus pada tahun 2021, dan menurun kepada 13.4 peratus setakat Jun tahun ini.