Untuk pasaran Amerika Syarikat, kesemua varian CX-5 kini didatangkan standard dengan sistem pacuan semua roda (AWD) bermula dari model tahun 2022.
Dari segi penampilan, Mazda CX-5 membawakan beberapa perubahan seperti unit lampu LED yang lebih nipis, serta grafik LED berbentuk L berkembar di mana tema yang sama turut dibawakan pada unit lampu belakang.
Rekaan bampar hadapan diberikan nafas baharu, diikuti dengan rekaan gril tiga dimensi dengan sayap kemasan krom yang menghubungkan antara kedua-dua unit lampu utama.
Sementara bahagian belakang juga turut menampilkan rekaan bampar baharu.
Tidak tertumpu kepada aspek kosmetik semata-mata, para jurutera Mazda turut menaiktaraf rangka badan, casis, suspensi, serta tidak ketinggalan postur tempat duduk yang turut ditambah baik.
Kualiti keselesaan pemanduan juga telah ditambahbaik di mana kadar kebisingan jalan berjaya dikurangkan dengan ketara, diikuti dengan unit transmisi automatik enam kelajuan yang menjadi semakin responsif.
Dari segi penawaran kuasa, Mazda CX-5 2022 untuk pasaran Amerika Syarikat boleh didapati sama ada enjin aspirasi natural Skyactiv-G 2.5 liter yang menghasilkan 187 hp dan 252 Nm, atau enjin Skyactiv-G turbo 2.5 liter yang mampu menjana 250 hp dan 434 Nm.
Keseluruhan penawaran trim CX-5 turut dikemaskini untuk model tahun 2022, di mana trim Grand Touring Reserve kini digantikan dengan 2.5 Turbo manakala model paling premium pula digelar sebagai 2.5 Turbo Signature.
Varian 2.5 Turbo didatangkan dengan kemasan trim hitam berkilat, diikuti dengan kemasan aksen merah serta jahitan kontras di bahagian kabin, sementara varian 2.5 Turbo Signature pula menambah cladding warna badan, roda berwarna perak terang, serta kemasan upholsteri kulit Nappa dan trim kayu tulen.
Sementara pasaran Eropah pula, Mazda CX-5 2022 didatangkan dalam tiga trim utama, iaitu varian asas Newground, Homura dan varian tertinggi High+.
CX-5 2022 aras mula mendapat kelengkapan seperti skidplate ala aluminium, rim aloi 19 inci hitam, serta kemasan aksen lime green pada luar, kemasan jahitan hijau pada upholsteri suede, serta papan lantai kalis air pada ruang kargo.
Spesifikasi pertengahan Homura pula mendapat kemasan hitam berkilat yang lebih premium pada gril, bampar, arka roda, kemasan pintu, serta cermin sisi, digandingkan dengan rim aloi hitam metalik 19 inci. Terdapat kemasan warna merah pada gril, serta jahitan kontras merah pada upholsteri kulit hitam.
Varian premium High+ pula dibezakan dengan plastik warna badan pada bampar dan fender, diikuti dengan rim perak terang bersaiz 19 inci, sementara kemasan ruang kabin pula terdiri daripada kulit Nappa dan tekstur kayu tulen pada panel pintu dan papan pemuka.
Antara kelengkapan standard yang dimuatkan termasuklah tempat duduk yang direka semula, slot pengecasan peranti pintar nirwayar, skrin infotainmen 10.25 inci, serta pemilihan mod pemanduan Mazda intelligent Drive Select (Mi-Drive) yang turut merangkumi mod baharu Off-road.