Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupe facelift: Bukan untuk semua orang

oleh Mohamad Hanif|
Salah satu daripada jentera pantas yang dipasang secara rasmi oleh Mercedes-Benz Malaysia di Pekan, Pahang merupakan jentera Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupe.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selain dipasang di Pekan, SUV sporti facelift ini turut didatangkan dengan beberapa penambahbaikan dari segi keselamatan, dan paling penting harganya menjadi lebih murah jika dibandingkan dengan model CBU terdahulu.

Jadi, dengan harga jualan sekitar RM500,000, adakah SUV ini sesuai dengan jiwa anda?

Berikut merupakan input penulis setelah beberapa hari menguji jentera SUV coupe ini.

 

1. Kuasa


Atas kertas, GLC 43 Coupe AMG ini didatangkan dengan enjin 3.0  liter bentangan V6 turbo berkembar yang mampu menjana 390 hp dan 520 Nm, dengan peningkatan sebanyak 23 hp.

Kuasa yang nampak liar itu disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi AMG Speedshift TCT 9G di mana pecutan pegun ke 100 km/j boleh diselesaikan dalam tempoh 4.9 saat.

Laju-laju nak pergi mana?
 

AMG


Jika anda jenis yang senang terasa dengan hon orang belakang atau highbeam daripada kereta berkuasa kuda rendah, kelebihan yang ada boleh digunakan untuk memalukan mereka, terutama di atas lebuh raya.

Setakat nak menderma asap emisi pada kereta belakang yang berkuasa bawah 100 hp, tiada masalah langsung....

 

2. Pengendalian mantap, selesa nombor satu!


SUV dengan kuasa kuda yang agak tinggi, mungkin ada yang berpendapat sukar untuk mengawal kenderaan ini di atas jalan raya.

Namun, setelah beberapa minit membiasakan diri dengan pecutan dan respon stereng, penulis tidak mengalami masalah langsung dengan kuasa kuda yang tidak sabar untuk dihamburkan itu.

Biarpun dengan dimensi yang agak tinggi, tapi ia tidak menjadi satu masalah untuk penulis menikmati keseronokan pemanduan SUV coupe ini.

Asal jumpa selekoh, kaki kanan automatik jadi berat.
 

AMG


Pendek kata, untuk memandu apa jua kereta pantas, anda sebenarnya perlu tahu tempat dan skill kemahiran diri. Usah buat melebihi kemampuan diri dan kenderaan.

Pemanduan secara bersendirian atau membawa penumpang di belakang, keselesaan tetap menjadi perkara nombor satu yang diutamakan pada crossover coupe ini, walaupun nama di dalam geran (dan pada cover enjin) ada tertulis AMG.
 

AMG


Terima kasih kepada sistem suspensi udara dan kawalan AMG Ride Control+ yang dilengkapkan secara standard dari kilang, bermakna apa jua jalan yang anda tempuh, terutama di sekitar Lembah Klang ini tidak akan membuatkan muka anda berkerut sepanjang masa.

Jika anda jenis tidak mahu pening kepala, tukarkan sahaja mod pemanduan kepada Comfort. Mod Sport tu sekali sekala bolehlah kalau balik kampung jumpa laluan yang berselekoh, macam Lebuhraya KL-Karak, atau Bukit Putus International Circuit..

 

3. SUV kegunaan seharian? Tiada masalah langsung


Walaupun namanya sebuah SUV coupe, GLC 43 AMG Coupe ini masih tidak mengorbankan aspek praktikaliti.

Di samping masih lagi memuatkan lima orang dengan selesa pada satu-satu masa, bahagian kargo masih lagi mampu memuatkan sehingga 500 liter muatan.

Cukup besar untuk dibawa ke pusat membeli belah, atau balik kampung sekali sekala tanpa perlu memasang kotak Thule di atas bumbung.

 

4. Bentuk badan yang tak semua orang minat


Ya, ini merupakan satu genre yang penulis sebenarnya cukup bingung pada awal-awal kewujudannya.

SUV + bentuk badan coupe.

Ibarat Gen2 Supra admin IG kami yang ditinggikan.

Tapi, inilah genre yang kian menaik dan meningkat popularitinya di kalangan para peminat, serta bagi mereka yang tidak mahukan bentuk badan SUV yang tipikal dan berpetak, macam GLC standard atau GLB yang nampak seakan mini G-wagen itu.
 

GLC


Dari kilang, GLC 43 Coupe ini datang dengan bermacam-macam jajan, dari gril wajib Panamericana AMG, rim aloi bersaiz 21 inci yang besar gedabak itu, ada tempat pemijak sisi, diffuser di belakang, dan empat tip ekzos yang tidak bersambung dengan sistem sedia ada.

Memang cun habis.

Bagi penulis, ada duit, ada minat, sambar sahaja!

 

5. Ruang kabin yang sporti, praktikal


Apa yang anda akan dapat pada ruang kabin GLC 43 Coupe AMG ini?

Tali pinggang keledar merah, jahitan kontras merah pada tempat duduk, konsol tengah dan roda stereng, sistem audio Burmester yang cukup mengasyikkan, kawalan iklim tiga zon, serta sistem pencahayaan ambien 64 warna.
 

GLC


Penulis setakat ini masih lagi berpuas hati dengan sistem infotainmen standard yang dimuatkan pada mana-mana kereta Mercedes, termasuk GLC 43 Coupe ini.

Ia menawarkan konsistensi yang penulis harapkan, iaitu kawalan yang mudah, paparan grafik yang tajam, serta boleh dioperasikan dengan baik menerusi pad sesentuh yang terdapat di konsol tengah.

 

6. Penumpang belakang mungkin kurang selesa


Satu perkara yang penulis kurang gemar pada SUV Coupe sebenarnya adalah ruang kepala yang tersedia untuk penumpang belakang.

Ini kerana garis bumbung yang jauh lebih rendah itu memberikan kesan secara langsung kepada ruang kepala pada GLC 43 Coupe yang lebih kecil, jika dibandingkan dengan GLC versi standard.

Untuk anak-anak kecil, mungkin tiada masalah. Namun untuk penumpang yang sudah berusia dan mereka yang mempunyai dimensi yang agak tinggi, ini mungkin akan mendatangkan masalah ketidakselesaan ketika dalam perjalanan.

 

7. Keselamatan tidak dilupakan


Berbanding model terdahulu, GLC 43 Coupe CKD ini sebenarnya menerima naiktaraf sistem keselamatan iaitu pakej Driving Asisstance yang merangkumi brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan tengah lorong, bantuan pengelakan lorong, serta sistem pemantauan titik buta.

Tidak ketinggalan, ciri kamera keliling 360 darjah yang sememangnya amat membantu terutama ketika memandu SUV coupe ini memasuki kawasan parkir pusat membeli belah yang sempit, selain membantu anda menjadi pemandu yang berguna dengan meletakkan kereta dengan betul di dalam kotak parkir.

Dengan harga jualan bermula dari RM508,597.80, penulis yakin walaupun dengan prestasi dan kelebihan yang ada, GLC 43 Coupe AMG ini adalah 'kasut' yang bukan untuk semua orang boleh pakai.

Spesifikasi Mercedes-AMG GLC 43 Coupe 4MATIC
Enjin: M276 V6 3.0 liter turbo berkembar
Kuasa: 390 hp @ 5,500 rpm
Daya kilas: 520 Nm @ 2,500 rpm
Transmisi: AMG Speedshift TCT 9G
Pacuan: Semua roda 4MATIC
Pecutan: 0-100 km/j dalam 4.9 saat
Kelajuan tertinggi: 250 km/j (elektronik)

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…