Untuk pasaran Malaysia, jentera berharga dari RM3 juta itu hanya dibawa masuk sebanyak 13 unit sahaja dan kesemua unit tersebut telah pun mempunyai pemilik masing-masing.

Dari segi spesifikasi, Mercedes-AMG GT Black Series dikuasakan oleh nadi bentangan V8 jenis flat-plane crank dibantu dengan unit pengecas turbo berkembar dengan angka output setinggi 730 hp @ 6,700-6900 rpm, dan daya kilas maksimum 800 Nm @ 2,000-6,000 rpm.
Ia dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT 7G yang telah diubahsuai bagi mampu bertahan dengan peningkatan angka daya kilas itu tadi.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat, diikuti 0-100 km/j bawah sembilan saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 325 km/j khusus untuk pemanduan di dalam litar.
Beberapa perubahan dibuat pada nadi tersebut, seperti penggunaan camshaft dan manifold ekzos baharu untuk disesuaikan dengan urutan pembakaran 1-8-2-7 4-5-3-6, serta penggunaan galas anti-geseran pada unit pengecas turbo untuk peningkatan respons pendikit yang lebih baik.

Sebagai sebuah jentera yang dihasilkan untuk pemanduan kelajuan tinggi, AMG GT Black Series didatangkan dengan sistem aerodinamik yang serius dengan meminjam elemen daripada jentera lumba GT3 dan GT4.
Seperti contoh liang kemasukan udara yang lebih besar, bonet gentian karbon dengan outlet udara yang besar, sayap belakang gentian karbon, panel sisi yang lebih lebar, apron belakang baharu dengan diffuser besar, serta bilah aerofoil yang juga diperbuat daripada gentian karbon.
Ia juga dibantu dengan penambahan panel bawah badan hampir penuh yang direka untuk membenarkan aliran udara yang optimum, sekaligus meningkatkan daya turun.
Disebabkan itu, Mercedes-AMG GT Black Series ini mampu menjana daya turun seberat 400 kg pada kelajuan 250 km/j.

Sistem gantungan AMG GT Black Series ini menggunakan tetapan sama yang digunakan pada AMG GT R, iaitu suspensi coil-over AMG dengan spring boleh laras yang mampu merendahkan lagi titik graviti sebanyak 10 mm, dibantu dengan ciri AMG Ride Control dan pemilihan mod pemanduan AMG Dynamic Select.
Sementara sistem AMG Traction Control pula menawarkan sehingga sembilan tahap kawalan gelinciran tayar terutama ketika sedang menggunakan mod ESP OFF, dan boleh ditetapkan sendiri oleh pemandu bergantung kepada kesesuaian dan keadaan litar.
Aspek pemberhentian jentera ini pula menggunakan sistem brek jenis seramik secara standard, dengan angkup brek berwarna hitam dan penggunaan pad brek jenis khas.

Ruang kabin jentera AMG GT Black Series ini didatangkan dengan skrin kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin multimedia 10.25 inci dengan tiga paparan pilihan spesifik AMG, iaitu Classic, Sporty atau Supersport, roda stereng AMG Performance balutan gentian mikro DINAMICA, upholsteri kulit Nappa dan gentian mikro, jahitan kontras jingga dan trim gentian karbon.
Harga jualan untuk sebuah Mercedes-AMG GT Black Series bermula dari RM3 juta.