Selepas pengenalan G 63 AMG Edition 55 tempoh hari, kini Mercedes-AMG membawakan model GT Track Series yang merupakan versi terhad kepada model Black Series, khusus untuk kegunaan litar.
Dihasilkan sebanyak 55 unit sahaja, Mercedes-AMG GT Track Series ini didatangkan dalam warna Manufaktur Hightech Silver Magno dengan kemasan berkilat separa, diikuti trim merah dan anthracite.
Bahagian luar jentera ini menampilkan komponen gentian karbon seperti hud enjin, fender, ambang pintu, pintu belakang, serta bampar belakang.
Sementara ruang kabin pula tidak lagi menampilkan elemen kemewahan seperti model Black Series, sebaliknya membawakan tempat duduk perlumbaan diikuti dengan konsol tengah gentian karbon.
Disebabkan penggunaan bahan ringan, AMG GT Track Series kini seberat 1,400 kg berbanding 1,588 kg pada jentera jalanan.
Dari segi kuasa, AMG GT Track Series didatangkan dengan nadi 4.0 liter V8 turbo berkembar, dibantu dengan sistem pancitan bahan api yang berbeza yang mampu meningkatkan kuasa kepada 724 hp dan 850 Nm, berbanding model Black Series dengan 720 hp/800 Nm.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda menerusi transmisi sekuential Hewland HLS enam nisbah kelajuan.
Untuk kegunaan dalam litar, sistem gantungan didatangkan dengan unit peredam Bilstein boleh laras empat cara dengan pelarasan untuk mampatan dan lantunan, serta ketinggian jentera.
Cara pengendalian jentera atas litar juga boleh diubah menerusi tombol khas yang mampu mengubah kawalan cengkaman dan brek anti-kunci spesifikasi perlumbaan. Terdapat sehingga 12 tahap pelarasan yang ditawarkan untuk jentera ini.
Di depan pemandu, terdapat roda stereng khas untuk kegunaan perlumbaan serta panel instrumen Bosch DDU 11 yang boleh diprogramkan sepenuhnya.
Aspek aerodinamik menampilkan liang udara besar pada hud enjin, splitter eksklusif, liang pada fender bertujuan untuk meningkatkan daya turun pada gandar depan, diikuti dengan sayap belakang dwi-elemen dengan bahagian atas boleh laras.
Tidak ketinggalan, sistem keselamatan Track Series yang mampu memenuhi piawaian terkini FIA, seperti sangkar keselamatan keluli yang dipasang secara terus kepada kerangka aluminium jentera, diikuti sistem tali pinggang keledar lima poin, bukaan kecemasan pada bahagian bumbung dan sistem pemadam kebakaran.
Seperti yang dijelaskan, hanya 55 unit sahaja AMG GT Track Series yang akan dihasilkan dengan harga jualan bermula dari €369,000 (RM1,712,632).
Terdapat opsyen untuk menambah sebuah lagi tempat duduk, sistem ventilasi helmet, sistem saluran minuman dan juga sel keselamatan untuk penumpang.