Mercedes-Maybach GLS 600 2021 dilancarkan - S-Class versi SUV

oleh Mohamad Hanif|
Tidak dilancarkan di acara Los Angeles Auto Show, sebaliknya Mercedes memilih lokasi pelancaran SUV mewah terbaharu mereka di Guangzhou Auto Show, China.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Disasarkan untuk melawan penguasaan pasaran oleh Rolls-Royce Cullinan, Aston Martin DBX dan Bentley Bentayga, Mercedes-Maybach GLS 600 ini dibangunkan berdasarkan platform GLS sedia ada, namun dengan elemen mewah yang menjadi mainan utama jenama Maybach. 
 


Dibalik hud enjin, terdapat nadi bentangan V8 turbo berkembar berkapasiti 4.0 liter yang mampu menghasilkan 550 kuasa kuda dan tork sebesar 730 Nm yang masuk penuh pada julat putaran enjin 2,500-5,000 rpm. 

Enjin ini sememangnya dibangunkan khusus untuk Maybach, dan dengan bantuan sistem EQ Boost, ia mampu menambah 22 hp dan 250 Nm daya tork segera apabila diperlukan. 

Walaupun dengan berat melebihi 2 tan (2.78 tan), Mercedes-Maybach GLS 600 ini hanya memerlukan 4.9 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada takat 250 km/j sahaja. 
 


Sebagai sebuah kenderaan yang membawakan jenama Maybach, rekaan grilnya yang ikonik itu didatangkan secara standard, logo Maybach pada tiang D, serta trim krom pada tingkap, tiang B, panel side sill, dan bahagian bawah bumper belakang. 

Memandangkan SUV ini hanya dikhaskan untuk keselesaan yang tiada tandingan, bahagian belakang hanya mampu memuatkan dua orang sahaja, lengkap dengan kerusi yang boleh dibaringkan ala-ala kelas perniagaan kapal terbang. 
 


Kerusi tersebut dibalut dengan bahan kulit Nappa, serta turut didatangkan dengan ciri ventilasi, urut dan juga sistem pemanas terbina dalam. 

Penumpang belakang menikmati keselesaan tersendiri dengan corong pendingin hawa yang berasingan, tabir tingkap berkuasa, skrin individu serta bumbung suria panoramik.

Sistem MBUX Rear Tablet di bahagian tengah membolehkan penumpang menetapkan keselesaan yang diperlukan termasuklah ciri hiburan, manakala ruang di hadapan pula merupakan ciri opsyen yang boleh menempatkan botol minuman keras dengan ciri pendingin terbina. 

Tidak cukup selesa?
 


Mercedes-Maybach GLS 600 ini hadir dengan satu wangian khas yang dibangunkan khusus iaitu white osmanthus blossom sebagai sebahagian daripada pakej opsyen Air-Balance. 

Dari segi spesifikasi teknikal, secara asasnya Mercedes-Maybach GLS 600 ini sudah cukup dengan sistem suspensi Airmatic, namun bagi mereka yang mahukan lebih, terdapat opsyen suspensi aktif sepenuhnya dengan kawalan E-Active Body Control, di mana ia menawarkan program pemanduan Maybach untuk keselesaan yang tiada tandingannya. 
 


Dipasang di kilang Amerika Syarikat, SUV mewah ini akan mula dijual seawal suku kedua tahun 2020, dengan harga jualan anggaran dari $200,000 (RM834,201*). 

*mengikut kadar pertukaran matawang semasa

Berita Berkenaan

Berita Global
    Kedua-dua model itu membentuk koleksi Mercedes‑Maybach SL 680 Monogram Series. Corak…
Model Terbaharu
Sudah pasti, jika Mercedes mengabungkan namanya bersama Maybach, akan terserlah ciri-ciri kemewahan…
Pelancaran
Ia hadir dengan penawaran enjin V8 yang serupa namun dengan talaan kuasa yang lebih tinggi, 557 hp…