Selain dihasilkan khusus untuk pasaran ASEAN dan Oceania, Mitsubishi Triton juga dijangka akan dilancarkan buat pertama kali di Jepun pada awal tahun 2024 - selepas 12 tahun.
Menurut presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato berkata, "kami telah membangunkan model Triton serba baharu dengan lebih banyak elemen 'Mitsubishi-ness'.
Bergantung kepada spesifikasi, Triton 2024 boleh didapati dalam tiga bentuk badan, iaitu double-cab, single-cab, dan juga club-cab.
Berikut merupakan beberapa perkara menarik berkenaan Mitsubishi Triton 2024:
1. Platform baharu
Mitsubishi Triton menggunakan platform ladder-frame yang dibangunkan baharu, dengan penggunaan keluli tegangan tinggi (1,180 MPa) untuk meminimumkan penambahan berat badan.
Ia juga mempunyai kawasan keratan rentas 65 peratus lebih luas berbanding model terdahulu, menjadikannya kadar ketegaran lenturan 40 peratus dan ketegaran kilasan 60 peratus.
2. Enjin diesel baharu
Triton 2024 tidak lagi menggunakan nadi 4N15, sebaliknya digantikan dengan nadi diesel serba baharu berkod 4N16 dengan tiga output yang berbeza.
Versi paling berkuasa mampu menjana kuasa setinggi 201 hp dan 470 Nm, terima kasih kepada penggunaan pengecas turbo dan sistem pembakaran serba baharu.
Versi standard pula dibekalkan dengan pengecas turbo VG, di mana ia mampu menjana kuasa 148 hp dan 330 Nm, atau 181 hp dan 430 Nm.
Kesemua Triton didatangkan dengan padanan transmisi automatik enam kelajuan (dengan mod Sport), atau transmisi manual enam kelajuan dengan teknologi shift-by-wire untuk mengurangkan kesan gegaran daripada enjin.
Sistem pacuan empat roda Super-Select 4WD-II menawarkan sehingga tujuh mod (Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand dan Rock).
3. Sistem gantungan baharu
Secara standard, Triton baharu membawakan tetapan sistem suspensi jenis double wishbone di bahagian hadapan, diikuti sistem spring dedaun di bahagian belakang.
Mitsubishi telah menala sistem tersebut untuk tahap keselesaan dan pengendalian yang lebih baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan elemen kekukuhan dan sifat tahan lasak trak tersebut.
4. Konsep rekaan Beast Mode
Mitsubishi Triton masih lagi mengekalkan bahasa rekaan Dynamic Shield, namun penampilan model baharu ini dipertingkatkan dengan pendekatan 'Beast Mode' yang menjadikan Triton baharu ini tampak lebih garang.
Penampilan gagah tersebut disumbangkan oleh lampu nyalaan siang LED dengan grafik berbentuk L itu membawakan bayangan renungan tajam helang, diikuti dengan unit lampu utama berbentuk tiga dimensi.
Bahagian belakang pula membawakan unit lampu berbentuk T yang sengaja direka untuk menonjolkan tahap kelebaran trak pikap ini.
5. Dimensi bertambah besar
Berbanding model terdahulu, Triton baharu juga kini tampil lebih besar, dengan ukuran dimensi double cab sepanjang 5,360 mm (+55 mm), lebar 1,930 mm (+115 mm), tinggi 1,815 mm (+35 mm) dengan jarak antara roda sepanjang 3,130 mm (+130 mm).
Ruang bed belakang juga kini bertambah besar, dengan ukuran sepanjang 1,555 mm, lebar 1,545 mm, dan tinggi 525 mm, di mana ia telah direndahkan 45 mm kepaa 820 mm untuk memudahkan urusan pemunggahan barangan.
Dengan dimensi yang bertambah besar, radius putaran trak pikap ini meningkat kepada 6.2 meter, berbanding 5.9 meter pada model terdahulu.
Jarak lega bumi pula adalah setinggi 222 mm, diikuti sudut pendekatan 29 darjah, sudut pelepasan 22.8 darjah dan sudut breakover 23.4 darjah.
6. Ruang kabin moden
Susun atur papan pemuka Triton baharu menggunakan konsep Horizontal Axis dan bentuk geometri untuk mencipta ruang dalaman yang lebih moden.
Bukan itu sahaja, perkakasan seperti roda stereng, tempat pemegang pintu, kotak sarung tangan, tempat pemegang peranti dan butang fungsi di dalam ruang kabin telah direka supaya lebih mudah dioperasikan terutama ketika pengguna menggunakan sarung tangan.
Di bahagian konsol tengah terdapat ruang untuk meletakkan dua cawan besar, serta kotak konsol yang mampu memuatkan empat botol plastik 600 ml.
Selain daripada soket kuasa USB-A dan USB-C, Triton turut dilengkapi dengan pengecasan peranti tanpa wayar di bahagian tengah.
Tempat duduk hadapan kini menawarkan sokongan kepada tulang belakang, sementara rekaan di kawasan bahu pula memudahkan pergerakan dan mengurangkan kadar keletihan pemandu.
Bukan itu sahaja, tiang A telah direka untuk melebarkan lagi bukaan pintu, sementara tempat pemijak sisi telah dilebarkan untuk mengurangkan risiko tergelincir.
7. Ciri keselamatan
Bergantung kepada spesifikasi, Mitsubishi Triton 2024 kini dilengkapi dengan ciri berikut:
• Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
• Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM)
• Amaran Titik Buta (BSW)
• Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
• Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Terdapat juga ciri Mitsubishi Connect yang menawarkan panggilan kecemasan yang turut diaktifkan secara automatik saat beg udara terletus, fungsi pencarian kenderaan, semakan info seperti status bahan api, sejarah pemanduan, serta operasi jarak jauh dengan hanya menggunakan aplikasi peranti pintar.