Mitsubishi Triton kembali ke Jepun, kali pertama dalam 12 tahun!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mitsubishi Triton 2023
Mitsubishi Triton 2023
Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa sesetengah model kereta di Jepun tidak ditawarkan melalui saluran rasmi di pasaran tempatan.

Persoalan itu boleh dijawab pengeluar namun penawaran terpilih sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana pasaran termasuk negara asalnya sendiri.

Sebagai contoh Ford Ranger hilang dari pasaran Amerika Syarikat dari 2011 hingga 2018. Toyota Hilux diperkenal semula di Jepun pada 2017 selepas 13 tahun.

Ada lagi sebuah yang berbelas tahun tiada di Jepun iaitu Mitsubishi Triton atau nama asalnya Forte dan L200.

Rekod itu bakal ditamatkan selepas Mitsubishi mengumumkan Triton akan diperkenalkan di Jepun buat kali pertama dalam 12 tahun dan mula dijual pada 15 Februari 2024.

Menariknya, satu daripada varian Triton diberi nama GSR yang mengingatkan kepada model berprestasi Lancer satu ketika dulu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Mitsubishi Triton 2023

 

Tidak dilupakan, Mitsubishi Storm pasaran tempatan pernah menggunakan nama Evo.

Triton menggunakan enjin 4N16 2.4 liter diesel dengan sistem turbo dua peringkat yang menghasilkan output tinggi pada keseluruhan julat rev.

Sistem itu berfungsi dengan melaras dua turbin mengikut kelajuan putaran dan bebanan. 

Triton menghasilkan 201 kuasa kuda (hp) dan tork 470Nm dengan janaan dari serendah 1,500 rpm. Enjin dipadan bersama kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod sport.

Pacuan empat roda (4WD) Triton menggunakan sistem SS4-II dengan empat mod berikut:

  • 2H: Pacuan roda belakang
  • 4H: Pacuan 4WD sepenuh masa
  • 4HLc: Sambungan terus pada pembeza tengah
  • 4LLc: Gear rendah
Mitsubishi Triton 2023

Di bawah kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) pemandu boleh terus menukar mod pacuan menggunakan tombol kecuali 4HLc dan 4LLc yang hanya boleh dilakukan semasa berhenti.

Sistem pacuan juga membahagikan tujahan sebanyak 40 peratus ke depan dan 60 peratus ke belakang untuk cengkaman dan prestasi di selekoh.

Selain itu, Triton mempunyai tujuh mod pemanduan yang dibahagikan mengikut pacuan 4WD.

  • Normal: Tetapan asas untuk semua mod 4WD
  • Eco: Pemanduan ekonomikal - 2H
  • Gravel: Laluan tanpa turapan - 4H
  • Snow: Jalan ais dan bersalji - 4H
  • Cengkaman: 4HLc
  • Mud dan Sand: 4LLc
  • Rock: 4LLc
Mitsubishi Triton 2023

Mitsubishi juga terkenal dengan Active Yaw Control [AYC]. Sistem itu mempertingkat prestasi di selekoh melalui pembrekan daya rendah pada roda depan.

Sistem LSD (kawalan brek) membrek roda yang mengalami gelinciran dan membahagikan daya kilas pada roda yang mempunyai cengkaman.

Kombinasi tersebut diterjemah pada pengendalian yang baik walaupun untuk sebuah pikap dengan badan besar.

Turut dilengkapi Kawalan Menuruni Bukit (HDC) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Triton dibina di atas kerangka tangga baharu yang lebih tegar dengan lebih banyak bahagian menggunakan keluli tegangan tinggi.

Sama seperti kerangka, struktrur badan Triton dibuat daripada besi tegangan tinggi selain teknologi RISE yang menyerap tenaga sekiranya berlaku kemalangan.

Mitsubishi Triton 2023

Dari segi reka bentuk, Mitsubishi menggunakan konsep Beast Mode yang menampilkan gayaan lasak dan kekuatan.

Gaya depan Dynamic Shield diterjemah semula dengan jeriji bentuk tiga dimensi yang menonjol.

Secara ringkasnya, Mitsubishi banyak bermain dengan garis bersegi dan berkotak atau kembali semula ke era sebelum Triton 'Stormtrooper'.

Bentuk kabin mempunyai ciri aerodinamik lebih baik dan fungsi praktikal lain seperti hendal pintu yang lebih senang untuk digenggam dan tahan lasak. Pemijak sisi juga lebar.

Triton GSR dipasang jeriji sama warna dengan badan dan pendakap bawah bampar warna titanium gelap. 

Perkakasan lain seperti hendal pintu, perumah cermin sisi dan beberapa lagi dalam warna hitam.

Pada bahagian dalam, pemandu disaji dengan konsep baharu Horizontal Axis dengan tumpuan pada rekaan melintang supaya lebih alami. 

Rekaan perkakasan seperti meter, suis dan pelbagai lagi mengambil kira kemudahan penggunaan.

 

Mitsubishi Triton 2023

 

Dari segi keselamatan, Triton dilengkapi teknologi bantuan pemanduan e-Assist dengan sembilan fungsi berikut:

  • Sistem Kawalan Suai Pandu Radar (ACC)
  • Sistem Pembrekan Pencegahan Kemalangan (FCM)
  • Bantuan Pencegahan Tersalah Tekan Pedal (EAPM)
  • Sistem Amaran Lencongan Lorong (LDW) dan Fungsi Bantuan Pencegahan Lencongan Lorong (LDP)
  • Sistem Amaran Pengesanan Kenderaan Belakang dengan Fungsi Bantuan Penukaran Lorong (BSW/LCA)
  • Sistem Pengesanan Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Lampu Tinggi Automatik (AHB)
  • Sistem Pengesanan Isyarat Jalan Raya (TSR)
  • Peringatan Perhatian Pemandu (DAA)
Mitsubishi Triton 2023

 

Selari dengan perkembangan semasa, Triton dilengkapi fungsi Mitsubishi Connect yang boleh membuat tetapan penyaman udara, kunci dan buka kunci melalui kawalan jauh.

Mitsubishi turut menawarkan pelbagai aksesori seperti pendakap lingkungan roda, sports bar, riasan badan, penutup kargo belakang dan bantuan pintu kargo.

Berikut varian dan harga Mitsubishi Triton 2024 pasaran Jepun:

  • Triton GLS: 4,980,800 yen (RM163,212)
  • Triton GSR: 5,401,000 yen (RM176,981)

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

EXT Triton 2024

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Seiji Watanabe, pengurus besar bahagian reka bentuk Mitsubishi Motors, "kami amat berbesar…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata hasil siasatan awal…
Berita Global
Difahamkan, Triton merupakan trak pikap pertama yang diuji di bawah protokol penilaian 2021-2025.…