Namun, sebuah model yang langsung tidak tersenarai, iaitu Hyundai Stargazer nampaknya telah pun dikesan berada di atas jalan raya Malaysia berdasarkan laporan daripada rakan media, Paultan.
Imej yang dirakam oleh pembaca Paultan, Faiz Fadil menunjukkan MPV tujuh tempat duduk itu sedang dalam perjalanan di atas trak flatbed.
Untuk makluman, Hyundai Stargazer merupakan MPV di dalam segmen B yang telah dilancarkan di Indonesia beberapa bulan yang lalu sebagai pesaing kepada Toyota Veloz, Daihatsu Xenia dan Mitsubishi Xpander.
Berdasarkan spesifikasi Stargazer yang dilancarkan di negara jiran, ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter MPI berkuasa 115 PS @ 6,300 rpm dan daya kilas 144 Nm @ 4,500 rpm.
Terdapat pilihan transmisi iaitu kotak gear manual enam kelajuan serta transmisi CVT IVT (intelligent Variable Transmission).
Dari segi saiz, Stargazer berukuran 4,460 mm panjang dengan jarak roda 2,780 mm, lebar 1,780 mm dan tinggi 1,695 mm.
Sebagai perbandingan, pesaingnya Toyota Veloz mempunyai ukuran panjang 4,475 mm dengan jarak roda 2,750 mm, lebar 1,750 mm dan tinggi 1,700 mm.
Varian paling tinggi Prime didatangkan dengan kelengkapan seperti enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, bantuan mula mendaki, stereng boleh laras tilt/teleskopik, serta ciri keselamatan aktif termasuklah Bantuan Pelanggaran Hadapan, Amaran Tumpuan Pemandu, Bantuan Pengekalan Lorong, Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta dan Lintasan Trafik Belakang.
Tidak diketahui sama ada ia bakal dilancarkan secara rasmi kelak oleh Hyundai Malaysia, namun jika ia didatangkan dengan pakej spesifikasi dan harga yang kompetitif, ia dilihat mampu memberikan saingan positif untuk MPV segmen B di pasaran Malaysia.
Spesifikasi lanjut Hyundai Stargazer boleh dibaca menerusi pautan di bawah: