
Cadangan gabungan itu disampaikan oleh FCA pada 27 Mei dan disambut oleh Renault dan ahli lembaga pengarah (ALP) telah bertemu pada 4 Jun lalu.
Mesyuarat pada tarikh tersebut memutuskan untuk meneroka potensi cadangan gabungan dan akan duduk berbincang sekali lagi pada 5 Jun.
Setelah berbincang buat kali kedua, Renault pada 6 Jun mengumumkan bahawa ALP tidak boleh membuat keputusan selepas wakil kerajaan Perancis meminta untuk menunda undian kepada perjumpaan yang lain.
Kerajaan Perancis mempunyai pegangan saham sebanyak 15 peratus di dalam Renault.
Tidak menunggu lama Renault kembali membuat pengumuman pada hari yang sama, 6 Jun dan memaklumkan bahawa mereka kesal untuk tidak dapat meneruskan cadangan daripada FCA.
Namun dicelah garis masa ini ada satu hal menarik apabila pada petang 5 Jun, ALP FCA telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk menarik balik cadangan penggabungan yang dibuat kepada kumpulan Renault.
Kenyataan rasmi Renault menyebut bahawa Nissan telah menyuarakan pendapat mereka dan Renault menerima pandangan tersebut.
Renault juga memperakui cadangan FCA tersebut sebenarnya suatu yang menarik dan walau bagaimanapun masih kekal percaya terhadap dinamika kerjasama dengan Alliance (Renault - Nissan - Mitsubishi).
Pada awal cadangan ini diutarakan lagi sudah terdapat suara yang menyatakan apakah bakal berlaku kepada Alliance?
Walaupun gabungan ini hanya melibatkan FCA dan Renault sudah pasti ia akan turut memberi kesan kepada persekitaran dengan Nissan dan Mitsubishi.
Gabungan ini juga walaupun bakal memberi faedah daripada segi modal kerja, pembelian dan skala ekonomi namun sebenarnya berselirat dengan pelbagai jenama.

Di bawah FCA terdapat sejumlah jenama iaitu Alfa Romeo, Chrysler, Dodge, Fiat, Maserati, Jeep dan Ram. Kumpulan Renault pula memiliki Renault, Dacia, Renault Samsung Motors, Alpine dan LADA ditambah pula pakatan dengan Nissan dan Mitsubishi.
Walaupun gabungan FCA dan Renault tidak menjadi, menarik juga apabila melihat potensi yang bakal berlaku jika menjadi kenyataan.
Pada masa sekarang, Alliance berada di liga tiga pengeluar teratas dunia yang diduduki oleh Kumpulan Volkswagen dan Toyota Motor Corporation.
Tahun 2017 menyaksikan Alliance mencatat jualan kenderaan ringan terbesar dunia mengalahkan Volkswagen AG.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
