Nissan Safari Rally Z Tribute ini dibina oleh Tommy Pike Customs, dengan menampilkan penambahan lampu bantuan pada bampar, hud enjin dan tapak tiang A, diikuti skid plate dan hud enjin berwarna hitam.
Sistem gantungan kustom KW Safari telah berjaya meninggikan jarak lega bumi sebanyak 2 inci.
Komponen suspensi seperti lengan kawalan atas, rod pengikat luar, pautan hujung depan dan belakang, pautan tengah belakang dan lengan cengkaman belakang kesemuanya boleh dilaras mengikut keadaan pemanduan semasa.
Keempat-empat sudut dipasangkan rim bersaiz 17 inci dengan balutan tayar off-road Yokohama Geolandar M/T G003.
Ruang kabin pula membawakan tempat duduk Recaro Pole Position, sistem abah-abah empat poin, peta laluan East African Safari Rally serta kelengkapan bacaan masa retro.
Difahamkan, enjin asal 3.0 liter V6 itu telah diberikan talaan oleh AMS yang mampu menghamburkan kuasa melebihi 400 hp, serta beberapa barangan Nismo seperti klac cakera berkembar, flywheel, penukar haba, sistem kemasukan udara sejuk, pelindung enjin gentian karbon dan sistem ekzos cat-back.
Nissan juga bakal mempamerkan sebuah replika jentera rali Datsun 240Z yang dipinjamkan daripada seorang pengumpul pada acara SEMA itu nanti.