Odyssey super-low dari Alor Gajah - semangat bapa ranggi

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mahu atau tidak, bila keluarga semakin membesar, pembelian minivan atau MPV tidak dapat dielakkan.

Ya, memang ada yang membeli MPV kerana berminat dengan bentuknya dan ada juga yang membeli dahulu sebagai pelaburan masa hadapan walaupun inai masih merah dijari.

Model Odyssey RB1-RB2 (tahun 2003 - 2008) boleh dikatakan sebagai model MPV saiz sederhana paling berjaya untuk Honda.

 

 

Tak ramai yang tahu tetapi Odyssey generasi ketiga ini sangat sinonim dengan Honda Malaysia kerana negara pertama yang melancarkannya di luar Jepun ialah Malaysia.

Dibina di atas platform baharu, Honda mahukan sebuah MPV yang besar tetapi mempunyai ketinggian seperti sebuah sedan. Ini membolehkan ia dipakir di kawasan rendah yang sebelum ini khusus untuk kereta.

Nampak mudah tetapi Honda terpaksa menghasilkan sistem ekzos yang lebih pipih dan bersekali dengan ruang lantai.

 

 

Hasilnya - sebuah MPV yang rendah, mempunyai pengendalian seperti sebuah kereta sedan segmen D dan kabin yang masih mampu memuatkan tujuh orang dewasa dengan selesa.

Enjin K24A i-VTEC yang sama seperti Honda Accord dan CR-V digunakan dan memberikan tenaga yang memadai, menghasilkan 160 hp.

Untuk yang mahukan sedikit lagi tenaga, varian Absolute dengan enjin sama tetapi ditala untuk mengeluarkan 200 hp.

Di Australia, Odyssey ini ialah satu-satunya MPV yang berjaya mengalahkan Toyota Tarago (Estima) di dalam pasaran benua itu.

 

 

Ia sangat berlainan dari Malaysia kerana pada masa dilancarkan, ramai rakyat  Malaysia tidak begitu berminat dengan bentuk panjang ala wagon Odyssey ini.

Ada yang menggelarkannya kereta mayat, tetapi untuk yang sudah memandunya, memang mengakui ia adalah antara MPV terbaik dalam kategorinya.

Ia sporty dan terasa seperti memandu sebuah wagon sport, terutama di kawasan berliku. Paling penting, kerana badannya yang aerodinamik, ia menjimatkan bahan api.

Sayangnya, ramai tidak mempercayai laporan pandu uji Odyssey dari media tempatan dan masih memilih model-model Estima dan Vellfire terpakai dari Jepun. 

Mungkin mereka lebih suka memandu kotak kasut.

 

 

Kemasukan varian import baik-pulih (reconditioned) akhirnya membolehkan lebih ramai lagi membeli Odyssey ini dan barulah mereka sedar bahawa laporan-laporan pandu uji dari media tempatan memang boleh dipercayai.

Sekarang ini, model Odyssey banyak kelihatan di atas jalanraya dan ramai juga yang sudah mula melakukan modifikasi terhadapnya.

Namun begitu, Odyssey milik Mohd Dzulfakar dari Muar, Johor ini memang lain dari yang lain.

Kini menetap di Alor Gajah, Dzul, 35 tahun, sudah berkahwin dan bekerja sebagai juruteknik. Sebelum Honda ini, beliau menggunakan Proton Wira.

 

 

Pada tahun 2015, beliau membeli MPV Jepun ini untuk keluarganya. 

Tidak lama selepas itu, kerja-kerja modifikasi mula dilakukan.

Dzul nampaknya lebih menumpukan pada bentuk Odyssey ini. Enjin sudahpun menjana 200 hp, memadai untuk tugasnya tetapi Dzul mahukan ia kelihatan lebih rendah dan rapat ke bumi.

Untuk itu, beliau menggantikan sistem gantungan asal dan digantikan dengan sistem gantungan udara agar ketinggian Odyssey ini boleh diubah.

 

 

Roda aloi Work Gnosis bersai 19-inci cuba menyorokan sistem brek lengkap dengan angkup Brembo (depan dan belakang) dan rotor bersaiz 350 mm untuk depan.

Penggunaan corak "carbon-fibre" digunakan oleh Dzul untuk kemasan kabin dan juga enjin.

Ia merebak terus ke hud enjin, memberikan bentuk "nasty" dan agresif MPV ini.

Bodykit dengan double-deck spoiler di belakang, gril diubahsuai dan roof rack Thule dipadankan dengan rak basikal dan kotak barang Inno dari Jepun melengkapkan projek Odyssey ini.

 

 

Menurut Dzul, beliau menghabiskan dalam RM55,000 bagi menjadikan minivan beliau ini antara yang tergarang di dalam negara.

Mungkin kerana Dzul, ada yang tak sabar-sabar berkahwin semata-mata membolehkan mereka membeli MPV ini.

Tahniah Dzul! 

 

* Gambar oleh Shah Adam

Berita Berkenaan

Berita Global
  Seperti kei-car lain, N-VAN digerakkan enjin 660 cc bagi varian G, L, FUN, FUN STYLE+ NATURE …
Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…