Kalau dulu kita ada Innova yang menjadi pilihan geng ustaz/ustazah, kini rakyat Malaysia boleh mendapatkan model pesaing daripada pasaran China.
Satu daripadanya telah dijenamakan semula kepada jenama tempatan, dan sebuah lagi datangnya daripada jenama yang telah kita kenal sebelum ini, iaitu Chery.
Ya, bila sebut pasal Chery, anda mungkin akan terbayang MPV Chery Easter, dan dulu boleh tahan banyak juga model ini meluncur atas jalan raya.
Kini, Chery Malaysia kembali dengan barisan model yang lebih moden, dan senarai kelengkapan yang boleh tahan lengkap untuk tanda harga jualan yang kompetitif.
Setakat artikel ini ditulis, kelibat Tiggo 8 Pro juga banyak kelihatan atas jalan raya, dan kami berpeluang memandu uji sendiri SUV tiga baris tempat duduk yang mampu membuatkan SUV Proton rasa tercabar.
Berikut merupakan lima perkara yang kami rasakan sepanjang tempoh pandu uji model tersebut:
1. Rupa luaran yang lebih menyerlah
Mulai saat ini, anda sudah boleh melupakan imej kusam yang ditinggalkan oleh model-model Chery terdahulu.
Lihat sahaja penampilan Tiggo 8 Pro, sudah jauh lebih moden dengan penampakan garis badan yang gagah perkasa dan tidak kekok mata memandang, serta rekaan rim aloi 19 inci pada keempat-empat sudut.
Menjadikan Tiggo 8 Pro ini nampak lebih mahal ialah kehadiran unit lampu LED, lampu membelok jenis sekuential, lampu belakang LED melintang penuh, serta lampu brek ketiga berbentuk T yang tergantung kemas pada spoiler bumbung.
Empat tip ekzos pada bahagian belakang itu dirasakan tidak perlu, akan tetapi kehadiran ciri tersebut menjadikan penampilan Tiggo 8 Pro nampak sporti dan pantas secara azali.
2. Kabin lebih moden, tapi..
Saat penulis masuk ke dalam ruang kabin, ia menawarkan atmosfera yang nyata mampu menghapuskan perasaan skeptikal terhadap kereta buatan Tanah Besar.
Pemilihan bahan yang bersesuaian pada kabin Tiggo 8 Pro ini menyerlahkan lagi imej premium, dengan tempat duduk balutan kulit yang agak sedap memegang badan, dan kombinasi warna tiga tona yang tidak nampak janggal.
Jika anda perhatikan dengan lebih teliti, kabin Tiggo 8 Pro ini banyak membawakan elemen daripada jenama mewah Jerman.
Skrin paparan berkembar yang digunakan menawarkan kualiti paparan yang cukup jelas dan terang, terutama ketika kamera keliling 360 darjah digunakan untuk memantau keadaan di sekeliling kotak parkir.
Tipikal kereta moden, Tiggo 8 Pro juga turut dilengkapi dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, tidak ketinggalan slot pengecas peranti pintar tanpa wayar.
Antara perkara pada Tiggo 8 Pro ini yang penulis rasakan ia boleh dipertingkatkan pada kemaskini model akan datang ialah panel kawalan HVAC yang menggunakan operasi berasaskan sentuhan kapasitif.
Ia nampak moden, akan tetapi kemasan panel yang dibawakan itu agak silau jika berada di bawah sinaran mentari.
Terus terang cakap, mata penulis sukar untuk melihat dan melaraskan tetapan (suhu, kelajuan kipas) terutama ketika sedang memandu pada waktu tengah hari. Agak berbahaya jika pemandu terleka walau seketika.
Sistem pembesar suara yang dikuasakan oleh Sony itu menawarkan kualiti lontaran bunyi yang boleh diterima oleh telinga biasa. Tidaklah terlalu teruk sangat melainkan jika anda sememangnya seorang audiophile yang sangat mementingkan kualiti bunyi yang dimainkan.
Seperkara lagi ialah penggunaan bahan plastik berkilat yang mampu memerangkap cap jari, akan tetapi ia bukanlah satu masalah yang besar pun.
Ada model Jerman berharga ratusan ribu pun masih lagi dibelenggu dengan masalah sebegini.
3. Ruang selesa untuk seisi keluarga
Biarpun atas kertas Tiggo 8 Pro ini lebih kecil berbanding pesaing, namun begitu ruang kabin SUV ini masih lagi memuatkan kelengkapan yang mampu menjadikan perjalanan lebih selesa.
Untuk penumpang baris kedua dan ketiga masing-masing dibekalkan dengan corong pendingin hawa.
Ruang pada baris ketiga mungkin agak sempit untuk penumpang dewasa, namun tidak menjadi masalah besar untuk penumpang saiz kanak-kanak.
Secara standard, Tiggo 8 Pro menawarkan ruang kargo sebesar 193 liter, namun boleh memuatkan sehingga 1,179 liter sekiranya tempat duduk baris ketiga dilipat.
Tidak cukup? Lipat sahaja tempat duduk baris tengah, dan anda boleh mendapatkan ruang barangan sehingga 2,101 liter. Tak perlu risau masalah kekurangan ruang sekiranya anda berhajat untuk membeli belah di pusat perabot terkemuka di ibu kota.
4. SUV yang terlalu lincah di garis permulaan
Atas kertas, anda boleh jangkakan Chery Tiggo 8 Pro ini mampu untuk memalukan pihak lawan.
Ya, sudah pasti dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 256 PS dan daya kilas 390 Nm yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.
Namun, pengalaman pemanduan membuktikan perkara sebaliknya.
Saat SUV ini mula bergerak, ia mengingatkan penulis pengalaman memandu buat kali pertama - kaki kanan tiba-tiba tidak pandai mengagak kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kereta.
Lincah itu satu perkara yang bagus, memandangkan SUV ini senang untuk dikawal walaupun saiz badannya yang agak besar itu.
Namun jika terlalu lincah di permulaan juga tidak baik, ia menyumbang kepada aspek pemanduan yang tidak selesa kepada penumpang lain.
Respons brek juga nampaknya harus diperbaiki, kerana ada kalanya penulis perlu menekan pedal brek sekuat mungkin untuk menghentikan pergerakan SUV ini walaupun tidaklah selaju mana.
Apa yang penulis boleh puji pada SUV ini ialah kualiti pemanduan yang selesa serta kadar NVH yang agak bagus, terima kasih kepada tetapan suspensi multi-link di bahagian gandar belakang, serta penggunaan tayar CooperTires Evolution CTT pada keempat-empat sudut.
5. Kelengkapan keselamatan yang cukup baik
Chery Tiggo 8 Pro ini menawarkan senarai fungsi keselamatan yang cukup baik, menjadikannya satu pilihan yang boleh dipertimbangkan dalam pasaran.
Selain daripada sembilan beg udara, ciri pemantauan tekanan tayar (TPMS), kawalan cengkaman (TCS) dan ciri pasif yang lain, Tiggo 8 Pro juga hadir dengan ciri ADAS termasuklah brek kecemasan (AEB), sistem pemantauan titik buta (BSM), kawalan jelajah adaptif (ACC), dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).
Dengan harga jualan bermula dari RM159,800, Chery Tiggo 8 Pro merupakan salah satu model SUV tiga baris tempat duduk yang mungkin berbaloi untuk dimiliki.
Apa yang pasti, Tiggo 8 Pro (bersama model Omoda 5) kini memikul satu tanggungjawab yang besar untuk memahat semula reputasi jenama Chery di pasaran tempatan, terutama bagi mereka yang masih lagi skeptikal dengan kereta jenama China.