Pandu Uji: Kia Sorento 2.5 AWD Petrol - SUV hensem, selesa jalan jauh!

oleh Mohamad Hanif|
Terus terang, penulis akui sukar untuk membezakan rupa kereta-kereta Kia suatu ketika dahulu disebabkan ada krisis identiti rekaan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Contoh yang paling dekat ialah Kia Sorento generasi ketiga, sudahlah berkongsi platform yang sama dengan Kia Carnival, rupa parasnya juga dilihat hampir sama dengan MPV tersebut.

Susah nak beza kalau dilihat dari jarak jauh.
 

KIA


Namun, bila masuk generasi keempat, SUV segmen D dari Korea Selatan ini tampil dengan rupa paras yang lebih gagah perkasa, dalam masa yang sama, masih mengekalkan elemen tipikal Kia masa kini.

Kali pertama ia diperlihatkan di tanah air pada awal tahun 2023, ia berjaya membuatkan penulis jatuh cinta sekali lagi dengan jenama Kia.

Setelah beberapa hari bermadu kasih dengan Kia Sorento, berikut merupakan ulasan ringkas kami terhadap SUV Kimchi ini.

 

1. Saiz mesra famili

KIA


Di Malaysia, Kia Sorento mampu memberikan saingan terus kepada model-model SUV tiga baris tempat duduk seperti Mazda CX-8, Hyundai Santa Fe, Volkswagen Tiguan Allspace dan Proton X90.

Dimensinya cukup besar, dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-2 di mana tempat duduk tengah mendapat tetapan kerusi kapten.

Jadi, anak-anak anda tak perlu nak bergaduh ruang, sebab kerusi sorang satu!
 

KIA


Jika anda mempunyai keluarga yang kecil, lipat sahaja kerusi baris ketiga, dan anda akan mendapat ruang kargo sebesar 616 liter (berbanding 187 liter standard).

Mahu membeli belah di pusat perabot terkemuka di ibu kota? Tiada masalah. Lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan Kia Sorento mampu menyediakan ruang sebesar 2,011 liter!

 

2. SUV hensem dalam pasaran

KIA


Seperti yang penulis omel pada perenggan awal, Kia Sorento merupakan antara model Kia yang mempunyai krisis identiti suatu ketika dahulu.

Generasi keempat membawakan rupa paras yang lebih garang, terima kasih kepada unit lampu tajam dengan tiga unit projektor, lampu nyalaan siang DRL LED seakan taring rimau, tidak ketinggalan elemen hidung harimau yang biasa dikaitkan dengan kereta-kereta Kia.
 

KIA


Menambah lagi penampilan unik Kia Sorento ialah kehadiran lampu belakang LED jenis terpisah, macam saudara se-Korea-nya Hyundai Palisade.

Penulis berpendapat, elok sambar sahaja Kia Sorento pra-facelift ini sebelum model facelift menyusul kelak.

Sebab apa?
 

KIA


Kia sudah pun mula menggunakan kembali pendekatan keseragaman identiti EV9 pada model-model terbaharu mereka termasuklah Kia Sorento facelift, Kia Carnival facelift dan Kia Picanto facelift.  

Dah rasa macam tak eksklusif pula Sorento baru ni.

 

3. Tiada turbo, tapi bertenaga

KIa


Kia Malaysia menawarkan dua pilihan enjin, iaitu enjin petrol Smartstream 2.5 liter atau enjin diesel 2.2 liter turbo.

Unit yang kami pandu uji dilengkapi dengan enjin 2.5 liter aspirasi semula jadi yang berupaya menjana kuasa 177 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 232 Nm @ 4,000 rpm yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan transmisi auto enam nisbah kelajuan.

Untuk menggerakkan badan SUV seberat 1,771 kg ini bukanlah satu masalah besar, cuma anda perlu memberikan sedikit masa supaya enjin tersebut mengekstrak kuasa yang diperlukan oleh kaki kanan anda.
 

sorento


Tidaklah sampai satu minit pun sela masa yang diperlukan, dan anda perlu ingat, ia bukanlah sebuah nadi dengan induksi paksaan turbo macam pesaing-pesaingnya.

Cuma bila diperlukan, enjin tersebut mampu menawarkan apa yang pemandu inginkan.

Satu kelebihan yang ada pada Kia Sorento ini ialah walaupun dengan enjin bersesaran besar, ia masih lagi mampu memberikan penjimatan bahan api yang agak baik.
 

KIA


Setangki penuh 67 liter itu membolehkan ia bergerak sejauh lebih 600 km tanpa perlu berhenti di stesen minyak dengan kerap.

Untuk perjalanan yang jauh, Kia Sorento ini salah satu SUV yang boleh diharap pemanduannya.

Respons stereng yang sangat cekap walaupun terpaksa membawa badan yang berat, olengan badan yang boleh diterima, ditambah pula dengan sistem AWD yang mampu memastikan keempat-empat tayar melekat dengan baik di selekoh.

Empat mod disediakan iaitu Comfort, Eco, Sport dan Smart, namun penulis lebih gemar membiarkan kereta di dalam mod yang terakhir, disebabkan oleh gaya pemanduan yang bercampur-campur.

 

4. Ruang kabin yang selesa, balik kampung tak terasa penat!

KIA


Antara ciri yang penulis harapkan dari sebuah SUV saiz besar ialah mudah untuk dikendalikan dan tidak memenatkan sepanjang perjalanan.

Terima kasih kepada tempat duduk balutan kulit yang sangat selesa itu, perjalanan selama tiga hingga empat jam itu tidak langsung membuatkan penulis rasa bosan atau mengantuk.
 

KIA


Beralih menjadi penumpang di baris kedua, penulis boleh menikmati ruang rehat yang lebih selesa, dengan tempat duduk yang boleh dilaras kedudukannya ke depan atau ke belakang, selain ruang kaki dan kepala yang luas.

Untuk suasana yang lebih menyenangkan mata, tarik saja tirai penghadang matahari pada tingkap belakang, dan anda boleh tidur dengan tenang sepanjang perjalanan.
 

KIA


Satu perkara yang penulis patut puji pada Sorento ini ialah kehadiran sehingga lapan corong pendingin hawa di bahagian depan, dan setiap satu boleh dilaras arah tiupan anginnya.

Jadi, jika anda terpaksa mengembara di siang hari di bawah pancaran sinar matahari yang terik, sistem pendingin hawa Kia Sorento ini mampu mengelakkan anda daripada kepanasan di dalam kabin.

Ini juga merupakan antara sebab kenapa anda patut beli Kia Sorento versi pra-facelift, sebab ciri ini nampaknya telah ditiadakan pada model facelift di peringkat global.
 

KIA


Penumpang baris ketiga juga tidak perlu risau, kerana Kia Sorento menyediakan kemudahan seperti corong tambahan untuk pendingin hawa, soket kuasa 12V, butang khas untuk melipat kerusi tengah dan tempat meletakkan cawan.

Lebih penting, sepanjang perjalanan, boleh dikatakan aspek seperti kebisingan, gegaran dan kekasaran berada di tahap minimum, malah ngauman enjin juga hampir tidak kedengaran.

Mungkin sekali kalau jalan raya di Malaysia ini sudah tinggi kualitinya, tahap NVH akan menjadi lebih baik.

Mujur juga secara standard Kia Sorento ini dibekalkan dengan sistem audio Bose, jadi tidaklah terlalu bosan sepanjang perjalanan ke tempat destinasi.

 

5. Ciri moden yang memudahkan pemandu

KIA


Tidak banyak penulis boleh komen pada kelengkapan Kia Sorento ini.

Skrin infotainmen sebesar 10.25 inci itu cukup cemerlang beroperasi tanpa sebarang sela masa, ditambah pula dengan paparan grafik yang cukup jelas dan tajam, serta mudah dibaca di bawah sinar matahari yang terik.

Lagipun, sepanjang masa penulis hanya bergantung kepada fungsi Apple CarPlay untuk sistem navigasi dan YouTube Music.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu pula membawakan susun atur grafik yang kemas dan tidak berserabut. Paling penting, ia masih lagi mengekalkan paparan meter gaya analog walaupun sudah menggunakan skrin digital.

Salah satu ciri yang penulis amat hargai pada kereta-kereta moden.
 

KIA


Bagi mereka yang suka menggunakan tuil lampu isyarat membelok, skrin paparan tersebut akan memberikan imej kamera sisi untuk memastikan tiada kenderaan atau objek yang berselindung di sebalik titik buta SUV ini.

Sistem kamera keliling juga nyata sangat membantu pemandu untuk memastikan tiada sebarang calar dari objek asing yang mampu untuk mencederakan poket di kemudian hari.  
 

KIA


Kia Sorento juga sarat dengan pelbagai ciri keselamatan moden seperti enam beg udara, fungsi Auto Hold, serta kelengkapan ADAS yang hampir menyeluruh, menjadikannya salah satu SUV yang patut dipertimbangkan.

Pakej yang serba lengkap dan hensem ini anda boleh beli di Malaysia pada harga bermula dari RM235 ribu.

Itu pun jika anda tidak kisah untuk memiliki sebuah kereta yang datang dari Korea Selatan sebagai alternatif kepada jenama-jenama premium yang wujud dalam julat harga bawah RM250 ribu.

 

Spesifikasi ringkas Kia Sorento 2.5L AWD

KIA


Enjin Smartstream 2.5 liter DOHC aspirasi natural
177 hp @ 6,000 rpm, 232 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi automatik enam nisbah kelajuan
Sistem pacuan semua roda AWD
Suspensi MacPherson/Multilink
Rim aloi 19 inci, saiz tayar 235/55R19

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Hadir sebagai generasi kedua, The New All-Electric MINI Cooper menampilkan prestasi dan jarak gerak…
Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…