Pekerja stesen Astro maut dilanggar kereta ketika berbasikal

oleh SALINA JALIL|
Seorang petugas di stesen televisyen, maut selepas terbabit kemalangan ketika berbasikal di sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mangsa dikenali Jeffry Aziz, 57, dari Taman Puncak Jalil dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta.

 

Beliau berkata, kejadian berlaku di Kilometer 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil)/Puchong menghala ke Cyberjaya, pada jam 8.15 pagi.

 

Katanya, mangsa yang juga pekerja Astro Production Sdn Bhd (APSB) meninggal dunia di tempat kejadian.

 

"Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pereka di syarikat industri dari Bandar Baru Bangi, tidak cedera," katanya.


Insiden itu tular di laman sosial termasuk di Facebook Cyberjaya Community sejak pagi tadi.

 

Wan Kamarul Azran berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita yang datang dari susur keluar Putrajaya/Bangi dipercayai melanggar bahagian belakang mangsa yang datang dari arah Puchong.


"Ketika kejadian, mangsa berbasikal di lorong tiga dan akibat pelanggaran, mangsa tercampak di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang bagi bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987," katanya.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang…
Berita Global
  Mereka disaman di beberapa lokasi di Singapura oleh pegawai LTA yang disertai oleh pegawai Polis…
Informasi
  “Harapan PKB menjadikan Pintasan Saloma sebagai ‘Ikonik Pelancongan Baharu’ yang menjadi daya…