Mengikut kertas pertuduhan, Tan didakwa memandu kereta dalam keadaan kadar alkohol melebihi tahap ditetapkan iaitu 158 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah ketika ditahan di Jalan Kelibang-Padang Matsirat pada 11.14 malam 28 September lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Pindaan 2020 yang dikuatkuasakan mulai 23 Oktober lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda RM30,000 serta hilang kelayakan memandu selama dua tahun.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Siok Hui manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 ke atas tertuduh dan penjara sebulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Langkawi.