Pemandu Proton Exora - Empat sekeluarga pengsan bukan kerana kerosakan penghawa dingin

oleh Penyumbang Rencana|
gambar kejadian di Plaza Tol Bentong
Penglihatan tiba-tiba bertukar kabur selain telinga pula berdengung sebelum menyedari sedang menerima rawatan di Hospital Bentong, di Bentong, pada 24 April lalu.


Begitu pengalaman dilalui pemandu Proton Exora yang mahu dikenali sebagai Nor Wahid, 52, apabila ditemukan pengsan bersama tiga ahli keluarga lain selepas kenderaan itu merempuh paip air di Plaza Tol Bentong.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Sebelum tidak sedarkan diri, Nor Wahid memanggil isterinya berusia 46 tahun yang berada di sebelahnya, anak saudara lelaki berusia 17 tahun dan anak perempuannya berusia 12 tahun yang duduk di belakang, namun mereka tidak menyahut.

Nor Wahid memberitahu dia hanya kembali sedar apabila dikelilingi kakitangan Hospital Bentong dan dimaklumkan tiga ahli keluarga turut menerima rawatan selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam Proton Exora itu.

Kakitangan swasta itu berkata, dia masih tertanya-tanya mengenai insiden menyebabkan dia dan ahli keluarganya tidak sedarkan diri dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

Menurutnya, dia turut menafikan penyaman udara MPVnya mengalami kerosakan kerana ia berfungsi dengan baik apabila udara sejuk sepanjang perjalanan termasuk ketika dibawa pulang ke rumahnya di Balakong, Selangor pada 25 April lalu.

Menceritakan semula mengenai insiden itu kepada New Straits Times, bapa kepada lima anak berkenaan memaklumkan dia bergerak dari Kuala Terengganu sekitar 8 pagi pada 24 April lalu selepas bermalam di rumah abangnya.

"Kami bergerak menggunakan dua kereta, dan anak sulung Shafiq memandu sebuah lagi kereta. Kami ada berhenti seketika selama sejam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), tetapi saya tidak matikan enjin.

"Isteri saya kemudian mengambil giliran memandu sebelum berhenti di Gambang, namun terlalu banyak kereta. Walaupun R&R Temerloh juga penuh, kami berhenti juga untuk mengisi minyak. Ketika itu masih tiada masalah dengan penyaman udara.

"Tiga kilometer selepas Plaza Tol Karak, trafik bergerak perlahan dan saya perasan ada bau petrol yang kuat dalam kenderaan. Cuaca ketika itu amat panas dan kereta bergerak perlahan, jadi saya buka tingkap sebelah pemandu," katanya sebelum menutup semula tingkap beberapa minit kemudian apabila trafik kembali lancar.

Ketika kenderannya menghampiri Plaza Tol Bentong, Nor Wahid memaklumkan bau petrol semakin kuat dan keadaan trafik kembali buruk dan kenderaan bergerak amat perlahan.

"Ketika menghampiri plaza tol (Bentong), saya buka tingkap tapi suhu luar sangat panas. Tiba-tiba, saya rasa tak selesa dan tak bermaya... saya tanya isteri sama ada boleh pandu kereta selepas tol, tapi tiada balasan.

"Saya lihat isteri seperti sedang tidur nyenyak, manakala anak perempuan dan anak saudara juga tidur. Saya sangka mereka terlalu penat, namun tiba-tiba saya tak dapat fokus memandu kerana pandangan makin kabur, pendengaran kurang dan rasa lemah... saya pengsan.

"Tiba-tiba saya rasa ada orang tekan dada, tepuk pipi saya dan beritahu jangan tidur. Saya seperti bingung ketika itu, sebelum mula sedar selepas doktor beri oksigen di hospital dan semua ahli keluarga juga tersedar," katanya sebelum mereka dibenarkan keluar dari hospital pada 10 malam hari sama selepas tekanan darah stabil.

Nor Wahid kemudian bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk mengambil kenderannya sebelum dia dan keluarganya menetap di sebuah hotel di Bentong.

"Keadaan penyaman udara Proton Exora ini baik dan tiada isu. Saya memandunya pulang ke Balakong, keesokkannya dan bau petrol sudah tiada.

"Sebenarnya saya sudah buat pemeriksaan pada penyaman udara beberapa hari sebelum itu dan tiada tanda-tanda berlaku kebocoran karbon monoksida.

"Malah, baru servis penghawa dingin selain menukar kompresor pada Disember lalu, jadi ia (kejadian pengsan) tiada kaitan dengan masalah penghawa dingin," katanya sambil memaklumkan Proton Exora itu sudah berusia 10 tahun.

Sementara itu, Nor Wahid berkata, anak sulungnya mungkin menyangka insiden terbabit berlaku disebabkan masalah penghawa dingin MPV berkenaan ketika mengemaskini akaun Facebook.

Menurutnya, Shafiq cuba menghubunginya beberapa kali sebaik dia tiba di Plaza Tol Gombak sebelum kembali ke Bentong sebaik mengetahui insiden berkenaan.

"Dia (Syafiq) mungkin bertanya rakan mekaniknya sebelum percaya ia mungkin akibat masalah kerosakan penghawa dingin.

"Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila diberi peluang hidup 'kedua' dan hanya nombor plat hadapan sahaja yang rosak.

"Pada masa sama, saya berterima kasih kepada anggota polis, kakitangan plaza tol, anggota perubatan dan orang ramai yang membantu... hanya Tuhan sahaja mampu membalas jasa anda," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar dipetik berkata, siasatan mendapati tiada unsur kecuaian dalam insiden terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan kesihatan mendapati kesemua mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam MPV berkenaan kerana mengalami kekurangan oksigen.

Portal berita tempatan sebelum ini melaporkan empat sekeluarga pengsan di dalam kenderaan yang dinaiki dipercayai kekurangan oksigen di dalam badan ketika perjalanan sebelum merempuh Plaza Tol Bentong.

Kejadian berlaku pada 2.40 petang ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong di Selangor.

Kenderaan dipandu mangsa melanggar pintu plaza tol berkenaan sebelum pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas rondaan Op Selamat 2023 di Lebuhraya Kuala Lumpur, Karak memberi bantuan awal.

 

 

NST

Berita Berkenaan

Berita Global
Baru-baru ini, hantaran seorang pengguna Facebook dari Thailand telah menunjukkan salah satu contoh…
Berita Domestik
  Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu telah memujuk, merayu dan menawarkan…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar. berkata kejadian berlaku pada 2.40 petang dan…