Pembeli Mercedes EQS boleh pilih Hyperscreen - paparan skrin melengkung bersaiz 56 inci!

oleh Mohamad Hanif|
Sedan elektrik daripada Mercedes, EQS bakal diperlihatkan secara rasmi pada 15 April ini, namun Mercedes telah mendedahkan beberapa keping gambar yang memaparkan rupa sebenar dalaman sedan tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Para pembeli akan diberikan dua pilihan, di mana secara asasnya sedan itu bakal mendapat paparan yang serupa ditawarkan pada S-Class generasi baharu, iaitu skrin terapung 12.3 inci dan skrin tablet 12.8 inci di bahagian tengah, diikuti dengan trim seperti kayu dan juga keluli.

 


Namun, opsyen yang paling gempak adalah Hyperscreen, iaitu skrin paparan lebar melengkung dengan perlindungan kaca tahan calar bersaiz 56 inci yang merangkumi ruang dari tiang A kiri ke tiang A kanan, terdiri daripada tiga paparan utama - 12.3 inci di hadapan pemandu, skrin OLED tengah 17.7 inci, dan skrin OLED untuk penumpang 12.3 inci.

Difahamkan, terdapat 12 unit actuator yang dipasang di bawah permukaan skrin dengan sistem operasi MBUX itu bagi menawarkan operasi sentuhan yang lebih intuitif.

Tidak kira apa jua saiz paparan yang dipilih (bergantung kepada wang anda), kedua-dua opsyen mendapat perisian MBUX generasi berikutnya yang menawarkan sokongan sapaan suara kepintaran buatan (AI) "Hey Mercedes".

Spesifikasi sistem MBUX ini terdiri daripada sistem pemprosesan lapan teras, memori RAM 24GB serta kelajuan bacaan memori sepantas 46.4 GB per saat.

 

skrin paparan yang sama terdapat pada S-Class


Selain daripada itu, Mercedes EQS juga didatangkan dengan kamera pengecaman muka yang digunakan untuk pelbagai jenis bantuan dan fungsi seperti pengesahan biometrik, amaran tumpuan pemanduan ATTENTION ASSIST, serta fungsi tetapan kedudukan cermin sisi.

Antara kelengkapan lain yang dimuatkan termasuklah penapis udara HEPA yang mampu menghalang kemasukan habuk, partikel dan debunga mikro, serta sistem audio Burmester berkuasa 710 watt yang lengkap dengan 15 pembesar suara yang turut mampu menghasilkan bunyi 'pemanduan' di dalam kabin.

Mercedes EQS dijangka menawarkan beberapa pilihan pek bateri dengan kapasiti terbesar setinggi 108 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 700 km (data WLTP), serta keupayaan Plug & Charge yang membolehkan EQS untuk 'berkomunikasi' dengan stesen pengecasan dengan menggunakan kabel pengecasan.

 


Mercedes EQS bakal bersaing secara terus dengan Tesla Model S.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, BMW pula dengan tenang memperlihatkan teaser rasmi sedan elektrik i7 yang bakal menyaingi…
Berita Global
Skrin paparan yang melengkung bersaiz 56 inci itu merangkumi jarak keseluruhan papan pemuka dari…