Pengarah JSJ - Anggota penguat kuasa hidup mewah 'bersekongkol' dengan sindiket jenayah

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran keras terhadap anggota yang masih bersubahat dengan sindiket jenayah.

Mohd Shuhaily berkata, situasi berkenaan perlu diberi perhatian oleh setiap pegawai atasan atau penyelia dalam JSJ di seluruh negara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia susulan terdapat pegawai yang sanggup ‘menjual’ nyawa rakan setugas demi imbuhan wang daripada sindiket dengan memberikan maklumat salah dalam sesuatu operasi.

“Dalam erti kata lain, dalam pasukan ini kelak, ada yang sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan duit.

“Perkara ini berlaku kerana tiada penyeliaan untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan.

“Bagaimana seorang Sarjan mampu memiliki Alphard, Vellfire atau Mercedes? Adakah pegawai atasan mereka atau penyelia bertanya bagaimana boleh memiliki kenderaan mewah? Ada buat pengisytiharan harta?,”tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada Jumaat, yang turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia.

Jelasnya, penyeliaan oleh pegawai atau penyelia atasan ini adalah satu perkara yang sedia ada dalam arahan penugasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pegawai dan anggota di bawah penyeliaan anda (pegawai atasan) buat benda merapu-rapu, sebab apa? Bosnya sendiri tak ambil peduli. Bukan setakat tak ambil tahu malah bosnya pun sama.

“Ada bos dan Sarjan pergi beli kereta mewah, hasil imbuhan wang daripada sindiket. Mereka pula sama-sama memilih nombor pendaftaran kenderaan dan inilah situasi yang berlaku dalam pasukan,”tambahnya.

Sehubungan itu, beliau turut memberi amaran kepada seramai 130 KBSJD yang gagal menjalankan tugas mengikut arahan malah tidak teragak-agak menukar mereka keluar.

“Sesiapa sahaja antara 130 orang ini yang masih gagal mengikut arahan, saya akan tukarkan malah saya akan tulis notis cadangan di situ bahawa pegawai ini tidak layak untuk diberi kenaikan pangkat.

“Mereka yang terlibat tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun gagal,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap semua pegawai dan anggota mematuhi peraturan serta melakukan kerja dengan penuh tanggungjawab bagi menjamin ketenteraman awam.

“Sesiapa yang bersekongkol dengan sindiket tidak layak untuk bercakap perihal mempertahankan agama, pertahankan negara. Anda tidak layak!.”

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sumber berkata, semua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2021 dan 2022 serta…
Berita Domestik
Video tular berdurasi lima saat itu memaparkan anggota penguat kuasa JPJ tersebut terpelanting dan…
Berita Domestik
  Menurut sumber, "penahanan suspek itu adalah susulan penahanan dua individu lain sebelum ini…