Tidak seperti model terdahulu, Axia 2023 dibangun menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture, menjadikannya model ketiga menggunakan pelantar baharu selepas model Ativa dan Alza.
Disebalik platform baharu, Axia 2023 masih lagi mengekalkan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter 1KR-VE dengan hamburan kuasa 67 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 91 Nm @ 4,400 rpm.
Mengikut jejak langkah abangnya Myvi, Axia baharu kini dibekalkan dengan transmisi D-CVT, di mana menurut kata Perodua mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 23.3 km/liter (NEDC) atau 27.4 km/liter (Malaysian Driving Cycle).
Dari segi dimensi, Axia baharu membawakan ukuran sepanjang 3,760 mm, lebar 1,665 mm, tinggi 1,495 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,525 mm.
Berbanding Axia terdahulu, Axia 2023 ini ini adalah lebih panjang, lebih lebar, namun sedikit rendah di mana jarak kelegaan tanah turut berkurangan kepada 150 mm.
Walaupun dengan saiz bertambah besar, radius putaran Axia masih lagi dikekalkan pada 4.5 meter untuk pengendalian yang lebih menyenangkan terutama di kawasan urban.
Untuk pasaran Malaysia, terdapat empat varian yang ditawarkan, di mana perinciannya adalah seperti berikut:
Axia G (RM38,600)
- unit lampu halogen
- lampu belakang mentol, lampu brek ketiga LED
- rim aloi 14 inci
- sistem kemasukan tanpa kunci
- tempat duduk balutan fabrik
- panel instrumen tona tunggal, skrin info LCD 4.2 inci
- ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC)
- dua beg udara
- cagak ISOFIX
- tempat duduk pemandu boleh laras ketinggian
- sistem audio asas dengan sokongan Bluetooth
Axia X (RM40,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
- lampu utama LED dengan fungsi automatik
- fungsi larasan manual, follow me home
- roda stereng boleh laras (tilt)
- butang pandu mula
- sistem kemasukan pintar
Axia SE (RM44,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
- lampu nyalaan siang LED
- skirting depan dan sisi
- jeriji depan krom
- tempat duduk semi bucket
- mod PWR
- kawalan pendingin hawa digital
- roda stereng dengan butang PWR
Axia AV (RM49,500)
(tambahan kepada ciri di atas)
- tempat duduk separa kulit
- skrin sentuh LCD sembilan inci, sokongan HDMI
- skrin paparan kluster TFT tujuh inci
- roda stereng balutan kulit dengan butang kawalan fungsi
- enam beg udara
- Advanced Safety Assist (ASA 3.0): Amaran Pra-Pelanggaran, Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Salah Operasi Pedal, dan Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan
- Bantuan Suluhan Tinggi (AHB), Amaran dan Pengelakan Keluar Lorong (LDW), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
- kamera undur
Terdapat lima warna yang ditawarkan untuk Perodua Axia 2023 iaitu Coral Blue, Lava Red, Granite Grey, Glittering Silver dan Ivory White.