Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya usaha kami memenuhi tempahan PENJANA sebelum 31 Mac 2023, selain penambahbaikan pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik.
Sepanjang suku pertama tahun ini, pengeluaran Perodua meningkat sebanyak 33.9 peratus kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.
Untuk tempoh tiga bulan yang pertama itu juga, Perodua mencatatkan peningkatan pendaftaran sebanyak 27.5 peratus kepada 78,564 unit berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Berbanding bulan Februari 2023, Perodua mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 29 peratus.
Beliau turut menjangkakan prestasi Perodua terus meningkat memandangkan jumlah tempahan yang semakin kukuh.
Beliau menambah, tempoh menunggu untuk sesetengah model telah berkurangan dengan signifikan, namun model seperti Bezza, Axia dan Alza mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang.
“Di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan PENJANA yang tidak dapat kami penuhi dan kepada pelanggan yang terlibat, kami akan meneruskan jumlah pengecualian cukai jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” kata Dato’ Sri Zainal.
Bagi aspek pengeluaran pula, beliau berkata penurunan harga bahan mentah di peringkat global baru-baru ini telah memberikan kelegaan kepada pembekal, Perodua serta kebanyakan pemain industri automotif.
“Situasi ini memberi kelebihan yang mana kami boleh memanfaatkannya dengan menyiapkan stok kenderaan lebih cepat dan dalam masa yang sama mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.
Pada hujung Januari lalu, Perodua mengumumkan sasaran pengeluarannya sebanyak 330,000 unit kereta dan sasaran jualan sebanyak 314,000 unit kereta pada tahun 2023.