Petron lancar kempen “Fuel Penuh Gaya – MyDebit Je dengan Kad ATM anda!”

oleh Mohamad Hanif|
Payments Network Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Petron telah melancarkan kempen “Fuel Penuh Gaya – MyDebit Je dengan Kad ATM anda!” untuk memberi ganjaran kepada pengguna yang menggunakan kad ATM MyDebit untuk pembelian bahan api melalui terminal bayaran di luar di lebih 700 stesen minyak Petron.

Petron adalah rangkaian stesen minyak yang pertama di Malaysia yang menawarkan pembayaran menggunakan kad ATM MyDebit tanpa tahanan RM200 selama 3 hari.

Kempen ini juga bertujuan untuk menggalakkan pelancongan domestik bagi merancakkan semula sektor tersebut yang kian memulih kesan daripada COVID-19.

Pelancaran “Fuel Penuh Gaya MyDebit Je dengan Kad ATM anda!” di stesen Petron NKVE KL-Bound telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan disaksikan oleh Datuk Musa bin Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mr. Peter Schiesser, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet dan Puan Faridah Ali, Pengurus Besar Petron Malaysia.

Kempen ini adalah terbuka kepada semua pemegang kad ATM MyDebit dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020 yang telah membuat pembelian bahan api sebanyak RM5 atau lebih dalam satu resit di mana-mana terminal bayaran di luar di stesen minyak Petron menggunakan kad ATM MyDebit yang dikeluarkan oleh bank-bank di Malaysia.

Sejumlah 169 hadiah ditawarkan termasuk motorsikal Kawasaki Z250 ABS, motorsikal Modenas Pulsar NS200 ABS, kamera Go Pro Hero8 Black, mata ganjaran Petron Miles bernilai RM500 setiap satu, bekalan minyak pelincir Petron Rider 4T Synthetic Blend untuk 1 tahun dan 36 baucar penginapan hotel di Lexis Hotels & Resort, Pelangi Beach Resort & Spa, Langkawi, Gloria Residences Ion Delemen Genting Highland, Federal International Group dan Iconic Hotel Penang yang ditaja oleh Tourism Malaysia.

“Kami amat gembira dengan kerjasama berterusan bersama pihak Petron Malaysia untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai dan yang lebih penting adalah kolaborasi ini dapat mengurangkan beban pengguna dengan tiadanya tahanan pra-kebenaran sebanyak RM200. Kami juga berterima kasih atas sokongan padu yang diterima dari pihak Yang Berhormat Menteri dan Tourism Malaysia dalam usaha menggalakkan pengunaan pembayaran tanpa tunai dalam perbelanjaan harian rakyat. Usaha seperti ini juga adalah bertujuan untuk menambah pengunaan kad ATM MyDebit untuk pembelian dan pembayaran semasa percutian Cuti-cuti Malaysia mereka,” kata Peter Schiesser, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet yang juga pengendali skim kad MyDebit.
 

 


En. Schiesser merujuk kepada tahanan pra-kebenaran sebanyak RM200 yang sebelum ini ditahan sehingga 3 hari walaupun pengguna kenderaan hanya membeli bahan api kurang dari RM5. PayNet, menerusi MyDebit dan 22 bank yang terlibat mampu membangkitkan minat pengguna dan Petron merupakan rangkaian stesen minyak pertama yang tidak menahan jumlah ini.

Faridah Ali, Pengurus Besar Petron Malaysia menyatakan, “Kami berbesar hati untuk melancarkan satu lagi kempen yang menarik bersama PayNet, kini dengan kerjasama Tourism Malaysia untuk membantu mempromosikan perjalanan domestik melalui kad ATM MyDebit. Kaedah pembayaran di stesen kami terbukti lebih cepat, lebih selamat, dan lebih memudahkan, dan kami berharap lebih ramai pelanggan kami dapat mencubanya. Walaupun berlakunya wabak ini, kami ingin tetap dapat memacu pengalaman pelanggan yang terbaik sambil menyumbang kepada pemulihan negara kita. "

Kempen “Fuel Penuh Gaya MyDebit Je dengan Kad ATM anda!” adalah siri kedua selepas kempen “FUEL-YoooH MyDebit Je with dengan Kad ATM anda!” yang telah berlangsung awal tahun ini sempena pelancaran penerimaan kad ATM MyDebit di stesen minyak Petron dimana pemenang bertuah telah membawa pulang hadiah-hadiah menarik termasuk Proton X70, motorsikal, telefon pintar dan kad hadiah Petron.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ramon S. Ang selaku Pengerusi Petron Malaysia berkata, "Bermula dengan permulaan yang sederhana,…
Berita Domestik
Sebanyak lebih kurang 50 kotak pakaian baharu dan terpakai, selimut, tuala, telekung dan sejadah,…
Informasi
  Dua pemenang hadiah tempat pertama akan memenangi sebuah motor Yamaha MT-25 setiap seorang…