Petronas ada 5,000 bengkel di China

oleh HEZERI SAMSURI|

 

Petronas, syarikat minyak negara nampaknya sudah melebarkan sayapnya ke China secara diam-diam.

Careta duduk bersama Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Tahir, Naib Presiden Perniagaan Hiliran (Downstream) Petronas ketika MotoGP hujung minggu lalu.

Juga dikenali sebagai CEO Proton yang paling terkenal, Syed Zainal kini diberi peluang untuk membuktikan bakat beliau dalam memperkembangkan produk negara ke pelantar dunia.

"Sebenarnya, walaupun Petronas bukanlah pilihan utama di Malaysia, pasaran luar nampaknya tidak mempunyai isu penerimaan jenama negara itu," ujar Syed Zainal.

Pelincir Petronas berada di tangga kedua jualan terbaik di Malaysia sekarang ini.

 

 

"Malah, terima kasih kerana pembabitan Petronas di dalam Formula 1, negara-negara luar termasuk Eropah menerima baik produk kami."

"Kami ada lebih kurang 7,000 buah bengkel automotif yang membawa jenama Petronas, dan 5,000 dari jumlah itu sebenarnya berada di China," terangnya.

Syed Zainal berkata sambutan Petronas di negara China itu sangat baik.

"Ibu pejabat untuk pasaran China berada di Beijing dan kami ada tiga kilang pelincir di negara tersebut."

Petronas juga bakal melancarkan sistem servis untuk syarikat e-hailing di sana di mana kenderaan syarikat itu akan diservis tanpa memerlukan pemandu dan penumpang turun dari kenderaan.

"Ia umpama pit-stop Formula 1 - servis segera.  Perniagaan perkongsian kenderaan seperti e-hailing dan car-sharing di China sangat besar dan Petronas ialah antara syarikat pelincir pertama dengan konsep servis pantas tersebut," tambah Syed Zainal.

 

 

Menarik juga kerana walaupun negara terpaksa menjual syarikat tempatan kepada China kerana kelemahan strategi perniagaan dan pengurusan, Syed Zainal berjaya membuktikan jenama tempatan seperti Petronas sebenarnya boleh menjadi kukuh dan mempunyai kepakaran untuk menembusi pasaran besar seperti di China. 

Syed Zainal juga berkata produk-produk dari anak syarikat Petronas mendapat lonjakan imej yang baik kerana aktiviti Petronas bersama Mercedes-Benz dan Lewis Hamilton di dalam Formula 1.

"Di Amerika Selatan, jenama Urania di bawah Petronas memang sangat popular. Di Eropah, Selenia menjadi pilihan OEM seperti Kumpulan Fiat Chrysler dan di Afrika Selatan, jenama Engen memegang 70 peratus dari pasaran bahanapi negara itu,"katanya berkaitan anak-anak syarikat Petronas di luar negara.

"Sebenarnya untuk pasaran OEM, Petronas sedang mencuba untuk pergi lebih jauh."

"Lebih kurang 26 peratus dari minyak pelincir yang digunakan di pusat servis dan kilang Mercedes-Benz ialah dari Petronas," sambungnya.

"Sasaran kami ialah meningkatkan jumlah itu kepada 50 peratus dalam masa tiga tahun. Yang menjadi halangan sekarang ialah kos dan juga logistik. Kami akan cuba yang terbaik untuk Mercedes-Benz."

Petronas juga sedang bekerjasama dengan Geely dari China dan Kumpulan Tata Motors dari India dalam pasaran pembekalan pelincir untuk kenderaan mereka.

 

 

"Dahulu, Petronas berbelanja besar di dalam segmen motorsports seperti Formula 1 ini kerana untuk tujuan penjenamaan. Sekarang, kami melihat pembabitan kami di dalam sukan bermotor itu dari sudut perniagaan. Ia mesti menguntungkan Petronas," jawab Syed Zainal bila ditanya kenapa hanya sekarang Petronas nampak lebih aktif di dalam pasaran antarabangsa.

"Bagi pasaran-pasaran Asean, Petronas memang sedang mengkaji semula pengalaman lampau untuk memastikan strategi yang lebih baik."

Petronas sudah keluar dari pasaran hiliran di Thailand dan Indonesia beberapa tahun lalu. 

"Untuk pasaran tempatan pula, Petronas bakal melancarkan produk Primax terbaharu kelak."

Menurut Syed Zainal lagi, Primax baharu jauh lebih baik dan dijangka akan diterima baik oleh pasaran tempatan kerana prestasinya.

 

 

Beliau juga berkata Petronas sudah merancang untuk menguatkan pasaran pelincir untuk motosikal juga dan MotoGP ialah caranya kerana Petronas sudah melihat kejayaan projek Formula 1.

Berkaitan dengan isu bahan bakar negara, Petronas katanya sudah bersedia untuk menjual bahanapi dengan tahap Euro 4.

"Sebenarnya, buat apa Euro 4. Baik kita terus ke Euro 5 kerana kami sudah bersedia."

Berkaitan isu diesel Euro 5 pula, Petronas menerima sambutan yang baik untuk produk itu.

Masalah yang tampil sekarang ialah jumlah tangki bawah tanah yang terhad di stesen-stesen yang menyebabkan diesel Euro 5 Petronas tidak boleh dikembangkan dengan segera ke lebih banyak lokasi.

"Stesen-stesen Petronas di dalam negara sedang dalam proses baik-pulih imej. Kami juga mahu pastikan setiap stesen Petronas menjual pelincir-pelincir kami kerana ia akan memudahkan pembeli mendapat pelincir asli," tambah Syed Zainal.

"Kami mahu jadi jenama pelincir nombor satu di dalam negara," kata akhirnya sebelum menamatkan wawancara.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
  Petronas Lubricants International telah melancarkan siri produk pelincir baharu yang direka…
Berita Domestik
Konvoi tersebut berlepas dari TSI Arena di Cyberjaya dengan perlepasan dibuat oleh Dato' Sri Syed…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kedua-dua lelaki itu…