Selepas dua pusingan, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Bahauddin mendahului kedudukan keseluruhan dengan 29 mata selepas meraih kemenangan pertama bersama pasukan baharunya itu.
Kemenangan berkenaan membolehkan dia merampas kedudukan pendahulu carta daripada pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Muzakkir Mohamed dengan perbezaan satu mata.
Muzakkir yang mencipta kejutan dengan kemenangan sulung peribadi dalam kelas perdana pada perlumbaan pembuka tirai musim ini, hanya mengutip tiga mata pada pusingan kedua untuk berada di tempat kedua keseluruhan.
Pelumba 'rookie' paling cemerlang musim lalu, Izam Ikmal membuktikan kemampuannya untuk bersaing dengan pelumba senior apabila kini berada di tangga ketiga dengan keseluruhan 25 mata, hanya tiga mata dari pendahulu kejuaraan.
Pelumba SCK Honda Racing Team itu berjaya mencuri kedudukan podium Pusingan 2 dengan menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan yang sangat sengit dan mendebarkan.
Md Izzat Zaidi Md Salehan dari Ipone Yamaha YY Pang Racing Team yang menduduki tempat kedua pada Pusingan 1 turun dua kedudukan apabila hanya berjaya mengutip satu mata pada Pusingan 2. Izzat kini berada di tempat keempat dengan 21 mata.
Perlumbaan CP150 pada minggu ini pastinya menjanjikan debaran apabila barisan pelumba sedia ada dilihat mampu untuk menjejakkan kaki ke atas podium.