Semasa pasukan Honda Petronas MIE Racing terus bersaing dalam Superbike Dunia dengan pelumba - Hafizh Syahrin Abdullah dari Malaysia dan dari Brazil Eric Granado, musim ini juga akan menyaksikan ia menampilkan pasukan Supersport buat pertama kalinya, dengan pembentukan pasukan baharu Petronas MIE MS Racing Honda Team.
Dalam kelas Supersport, mereka akan menggunakan khidmat penunggang muda lagi berbakat Tarran Mackenzie dari England dan seorang bakat tempatan Muhamad Adam Norrodin.
Terdahulu hari ini semua empat penunggang itu bersama dengan pemilik MIE Racing, Midori Moriwaki dan wakil daripada Petronas memperkenalkan jentera Honda CBR1000RR-R dan Honda CBR600RR yang akan bersaing masing-masing dalam kelas Superbike dan Supersport, dalam persembahan secara maya.
“Ia sememangnya kebanggaan dan kepuasan sebenar bagi Pasukan Honda MIE Racing kerana dapat mengumumkan kerjasama bertahun-tahun dengan Petronas,” kata Moriwaki dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata Petronas amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Midori dan sangat teruja memulakan projek terbaru ini.
“Kami pernah bekerjasama dengan Midori sebelum ini dan kami mengharapkan perkongsian yang berjaya dengan Petronas MIE Racing Honda Team, kerana Kejuaraan Dunia FIM Superbike akan memberi peluang untuk memacu kemajuan teknologi minyak kami dalam sukan permotoran dan meletakkan Petronas sebagai jenama komersial,” katanya.
Sementara itu dengan kemunculan Petronas, MIE Racing bersedia untuk memberi tumpuan kepada projek jangka panjang yang lebih luas serta pembangunan 'program akademi' yang akan menyaksikan rakan kongsinya bergabung tenaga untuk memanfaatkan Kejohanan Dunia Superbike dan Supersport sebagai platform dan pemangkin untuk program pembangunan bakat di Malaysia.