Peugeot 2008 2020 - tampil dalam varian petrol, diesel dan EV

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Persaingan di dalam kelas crossover segmen B nampaknya semakin sengit, dan masing-masing mempertaruhkan kekuatan yang tersendiri dalam menarik perhatian prospek yang lebih mementingkan gaya hidup yang serba moden. 

Apatah lagi ia kini menjadi tumpuan mengalahkan segmen sedan yang kian surut para peminatnya saban tahun.

Peugeot telah mengemaskini penawaran crossover segmen B-nya dengan memperkenalkan generasi baharu Peugeot 2008. 
 


Jika sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ia sebuah 3008 versi mini, dan reka bentuk moden yang Peugeot bawakan seperti lampu nyalaan siang ala-ala taring itu memang ternyata membuatkan anda berfikir sedemikian. 

Peugeot 2008 dibangunkan menggunakan pelantar tersedia Common Modular Platform, dengan penambahan dimensi sebanyak 140 mm panjang yang menawarkan ruang kabin yang lebih luas. 

Dengan penambahan tersebut, Peugeot 2008 mampu menawarkan ruang kargo seluas 434 liter, lebih besar berbanding model terdahulu.
 


Sama seperti versi hatchback 208 yang baharu sahaja dilancarkan tidak lama dahulu, Peugeot 2008 juga ditawarkan dalam enjin PureTech 1.2 liter dengan tiga talaan yang berbeza; 99 hp, 128 hp dan 153 hp. 

Versi diesel BlueHDI (99 hp) turut ditawarkan namun hadir dengan transmisi manual sahaja. 
 


Ruang kabin turut menempatkan ciri moden yang ada pada Peugeot seperti i-Cockpit 3D, paparan head-up serta sistem hiburan yang digandingkan dengan bunyi keliling Focal dan 10 buah pembesar suara. 

Bagi melindungi para penumpang ketika di atas jalan, Peugeot 2008 tampil dengan pelbagai fungsi keselamatan seperti Bantuan Parkir, Brek Kecemasan, Bantuan Kekal Laluan, Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu, Sistem Pengecaman Had Laju, Sistem Pemantauan Titik Buta Aktif, dan Peugeot Smartbeam Assistance. 
 


Selain daripada penawaran enjin pembakaran dalaman, Peugeot 2008 juga turut tersedia dengan varian elektrik e-2008. 

Model SUV elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang mampu menjana 136 kuasa kuda daripada pek bateri berkapasiti 50 kWh. 

Mengikut data kitaran WLTP, Peugeot e-2008 mampu mencapai jarak operasi sejauh 311 km dan dengan sistem pengecasan pantas 100 kW, bateri mampu dicas kepada kapasiti 80% dalam masa 30 minit sahaja. 
 


Pelancaran rasmi bagi Peugeot 2008 dan e-2008 pula dijangka akan berlangsung pada tahun hadapan, sekali dengan pengumuman harga jualan. 
 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Untuk memudahkan pelanggan yang mahu berjinak-jinak kembali dengan jenama singa Perancis, Bermaz…
Berita Global
Perubahan yang dibawakan pada model tersebut adalah menyamai apa yang ditawarkan pada model 508…
Berita Domestik
Pakej terbaharu ini tertakluk kepada model-model crossover seperti 2008, 3008, dan 5008 yang dijual…