PM harap perjanjian usaha sama DRB-HICOM, Geely dapat bantu tenaga kerja, perniagaan tempatan

oleh Penyumbang Rencana|
DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan AHTV di Tanjong Malim, Perak, dengan pemeteraian perjanjian usaha sama antara kedua-dua syarikat itu. - Gambar FB Anwar Ibrahim
DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak, dengan pemeteraian perjanjian usaha sama antara kedua-dua syarikat itu.

Ini adalah susulan daripada Perjanjian Kerjasama Utama yang ditandatangani pada Oktober 2023 yang telah menetapkan prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama untuk projek AHTV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian tersebut pada Isnin berkata kerajaan turut komited untuk memberi dukungan berkaitan dan yang diperlukan kepada pembangunan AHTV yang sedang giat diusahakan oleh Geely holding dan DRB-HICOM.

"Saya tekankan supaya pelaburan yang dibuat di Malaysia perlu memberi manfaat kepada bakat (tenaga kerja) dan perniagaan tempatan," katanya menerusi ciapan beliau di laman sosial X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Anwar berkata, Geely Holding berkongsi bahawa antara tarikan yang mendorong mereka untuk membawa pelaburan ke negara ini adalah hasil daripada manfaat hubungan perdagangan Malaysia dan negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah selain daripada pemilikan kepentingan dalam Proton.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM Tan Sri Syed Faisal Albar menandatangani perjanjian tersebut sebagai mewakili kumpulan manakala Geely Holding diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Li. Turut hadir ialah Eric Li, Pengerusi Geely Holding dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Perjanjian usaha sama tersebut menggariskan prinsip utama bagi kerjasama strategik, penyelarasan objektif usaha sama dan syarat-syarat perkongsian, kata DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah syarikat usaha sama akan seterusnya memanfaatkan kekuatan dan kepakaran DRB-HICOM dan Geely Holding dalam membangunkan AHTV sebagai hab antarabangsa kenderaan generasi seterusnya di Malaysia.

AHTV akan meliputi penyelesaian automotif dan mobiliti yang luas dan merangkumi seluruh rantaian nilai, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sepenuhnya, sehingga kepada pengeluar peralatan asal automotif bertaraf dunia dan kluster pembuatan.

Selain itu, AHTV juga akan menyokong perkhidmatan dalam ekosistem yang berkaitan, seperti logistik, latihan dan institusi pembelajaran dalam bandar pintar untuk industri automotif, kata kenyataan itu.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pusat 3S EON smart Glenmarie mempunyai keluasan 4,362 kaki persegi, dengan ruang yang mampu…
Berita Domestik
Carro yang juga memiliki myTukar adalah antara platform jualan kenderaan terpakai terbesar di…
Berita Domestik
Menurut DRB-HICOM, pengumumannya kepada Bursa Malaysia pada 4 Julai 2023, telah dinyatakan bahawa…