PM - Peruntukan RM7.7 juta untuk kos operasi lampu jalan di kawasan Felda

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kegusaran peneroka Felda tentang soal keselamatan setiap kali keluar pada waktu malam dan awal pagi akhirnya bakal terlerai apabila Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung kos operasi lampu jalan di kawasan Felda baru-baru ini.

Kebanyakan peneroka mengharapkan dengan peruntukan itu, jalan-jalan gelap dan malap di kawasan Felda akan dilimpahi dengan cahaya, sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan keselamatan penduduk.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bagi generasi kedua Felda Tenggaroh 2, Mera Ali, 31, perbelanjaan untuk kos operasi 37,012 lampu di Felda seluruh negara yang diumumkan semasa Hari Peneroka pada 7 Julai lepas, mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Bagaimanapun, kalau boleh biarlah lampu yang akan dipasang itu benar-benar dapat membantu menerangi kawasan di sekitar rumah penduduk terutama pada waktu malam dan hujan lebat, bukannya sekadar lampu yang 'hidup segan mati tak mahu'.

"Hal ini kerana keadaan di kawasan Felda pada waktu malam agak gelap dan bilangan lampu pula tidak mencukupi dan ditambah dengan keadaan struktur jalan yang kurang elok,” kata Mera yang juga Pengurus Pusat Komuniti Desa itu kepada Bernama, baru-baru ini.

Berkongsi pendapat sama, Mursina Zainuddin, 36, turut menghargai inisiatif kerajaan yang menitikberatkan soal keselamatan warga peneroka kerana kebanyakan jalan masuk ke kawasan Felda di situ termasuk Felda Tenggaroh Timur 01 yang didudukinya sangat gelap pada waktu malam kerana tidak banyak lampu di situ.

"Kita berharap lebih banyak lampu dipasang di kawasan yang kerap berlaku kemalangan pada waktu malam serta di kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat haiwan ternakan berkeliaran kerana keadaan itu boleh mengakibatkan kemalangan,” kata pengusaha sate sejuk beku itu.

Sementara itu, seorang peneroka yang hanya ingin dikenali sebagai Azemi, 65, menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dalam memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat Felda.

"Langkah ini amat membantu memudahkan kita untuk melaksanakan pelbagai urusan dan aktiviti pada awal pagi dan waktu malam termasuk berjalan kaki ke masjid selain keluar bekerja.

"Selain itu, kadar kecurian juga dapat dikurangkan apabila persekitaran cerah diterangi lampu di samping menceriakan suasana pada waktu malam," kata bapa kepada enam anak itu.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Seorang pemandu e-hailing, Aedy Alias Mat Rusok, 38, berkata, dia menggunakan laluan itu pada…
Berita Domestik
Henry kemudian menerangkan bahawa pemasangan 285 unit lampu jalan solar itu adalah sebahagian dari…
Berita Global
Saintis-saintis telah membandingkan 20 lokasi di tepi jalanraya yang diterangi dengan lampu-lampu…