Polis tahan dua lelaki bakar mercun di Dataran Jam Besar Sungai Petani

oleh Penyumbang Rencana|
Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kejadian membakar mercun di tempat terbuka yang boleh membahayakan nyawa berhampiran Dataran Jam Besar, Jalan Badlishah, di Sungai Petani awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 27 tahun (penjual mercun) dan 24 tahun (membakar mercun) ditahan di rumah masing-masing petang tadi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12 tengah malam tadi berlakunya kejadian letupan bunga api di lokasi kejadian.

“Hasil maklumat mendapati, lokasi kejadian itu adalah atas jalan raya di Dataran Zero, berhampiran bazar Aidilfitri, di Sungai Petani.

"Pegawai kami menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp dalam bentuk video yang berdurasi 43 saat berkaitan letupan mercun dan bunga api di tempat kejadian.

"Siasatan awal yang dilakukan mendapati, letupan itu berpunca daripada pembakaran satu unit mercun jenis 'happy bom firework' yang mana sewaktu letupan berlaku mercun terbabit dipercayai terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain.

"Kejadian itu menyebabkan suasana cemas dengan letupan dan dentuman mercun dan bunga api dalam kuantiti yang banyak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI  pada Selasa.

Zaidy berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani turut dikejarkan ke lokasi kejadian namun mengesahkan tiada kebakaran berlaku dan tiada sebarang kecederaan dialami orang awam di sekitar lokasi terbabit.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan direman esok.

"Suspek (penjual mercun) bekerja sebagai peniaga dan menetap di daerah ini manakala lelaki yang membakar mercun menetap di Kuala Ketil.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati bebas dari pengambilan dadah dan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Zaidy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957.

Sebelum ini dilaporkan orang ramai yang mengunjungi Dataran Jam Besar, cemas dan bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana ketakutan selepas melihat letupan mercun dan bunga api menjadi tidak terkawal.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata lelaki terbabit mengambil bahagian dalam perarakan itu bersama beberapa penunggang…
Berita Domestik
Video berkenaan turut memaparkan beberapa konvoi motosikal mengiringi sebuah kenderaan jenis Toyota…
Berita Domestik
Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika…