Porsche 911 Carrera Targa '86 milik Tom Cruise dijual pada harga RM365k!

oleh Mohamad Hanif|
Menerusi laman web Bring A Trailer, sebuah Porsche 911 Carrera Targa 1986 yang pernah dimiliki oleh pelakon terkenal Tom Cruise bakal dilepaskan kepada mereka yang berminat.

Menurut penerangan, Porsche 911 Targa ini dibeli baru oleh Tom Cruise pada April 1986, tahun yang sama ketika filem Top Gun mula ditayangkan.

Kereta ini berada dalam jagaan beliau sehingga Februari 1987 sebelum dijual dan berpindah tempat ke New Jersey dan Georgia, sebelum ia berpindah ke Illinois dan dijaga oleh pemilik baharu pada tahun 2012.
 

Porsche 911 Targa


Disebabkan kondisi yang sudah agak berusia, Porsche 911 Carrera Targa ini dicat semula dan beberapa komponen lusuh telah pun ditukar seperti cermin hadapan, gasket tingkap belakang, serta pengedap bar Targa.

Selain itu, rim 16 inci Fuchs ini telah diperbaharui tahun lalu, manakala angkup brek yang asal telah dibina semula pada tahun 2016.
 

Porsche 911 Targa


Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kulit hitam, tempat duduk sports berkuasa boleh laras, kawalan jelajah, tingkap berkuasa, serta unit hiburan Blaunpunkt Monterey yang masih lagi boleh memainkan kaset dan menyokong sambungan Bluetooth!

Sayang sekali, sistem pendingin hawa tidak berfungsi, namun ia bukanlah satu masalah besar untuk sebuah kereta yang mana bumbungnya boleh dibuka dan dialihkan.
 

Porsche 911 Targa


Porsche 911 Carrera Targa ini mengekalkan enjin flat-six 3.2 liter sejukan udara yang dipadankan dengan transmisi manual lima nisbah kelajuan, di mana unit enjin dan transaxle telah pun dibina kembali bagi menjadikan pemanduan yang lebih menyenangkan.

Difahamkan, pemilik terdahulu turut mengubah odometer mekanikal di mana ia kini mencatatkan jarak perbatuan 14,162 km, namun angka perbatuan sebenar tidak diketahui.

Menurut laman web Bring A Trailer, Porsche 911 milik Tom Cruise ini sudah pun terjual pada harga $86,000 (RM364,597).

Sumber: Bring A Trailer

Berita Berkenaan

Berita Global
Kali ini bukannya daripada Audi, akan tetapi sebuah Porsche 911 yang diberikan nama sebagai…
Berita Global
Rekaan luaran model 911 Sport Classic ini diinspirasikan daripada model asal 911 tahun 1964-1973,…
Berita Global
Namun, ia tidak pernah menghalang Porsche daripada terus meneroka kemungkinan dan peluang untuk…