Berdasarkan carian ringkas di laman web Singer Vehicle Design, syarikat yang berpengkalan di Los Angeles, California ini telah pun menala dan merestorasi puluhan unit Porsche 911 dengan pelanggan yang bertaburan di seluruh dunia.
Dan kami percaya, unit yang dipaparkan pada artikel kali ini merupakan unit pertama commission build untuk Malaysia, sebuah Porsche 911 dengan pemanduan sebelah kiri!
Porsche 911 berwarna GP White ini merupakan unit yang didatangkan dengan nadi boxer enam silinder sejukan udara berkapasiti 4.0 liter dengan kuasa disalurkan kepada sistem pacuan semua roda (4WD).
Enjin 4.0 liter sebenarnya merupakan enjin Cosworth 3.8 liter dengan talaan yang mampu mencecah angka 390 kuasa kuda, daya kilas 427 Nm dan garis merah 7,200 rpm.
Singer mengekalkan binaan asal yang diperoleh daripada Porsche 964, namun menggunakan komponen yang dibina khas seperti crankshaft, pam bahan api, kepala silinder, badan pendikit dan sistem kemasukan udara.