Boleh dikatakan, 911 S/T ini menggandingkan elemen yang wujud pada model 911 GT3 Touring Package serta enjin yang diambil daripada 911 GT3 RS.
Enjin boxer 4.0 liter itu mampu menjana kuasa setinggi 525 PS, dan pertama kali digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan nisbah rapat.

Secara keseluruhan, 911 S/T ini hanyalah seberat 1,380 kg, menjadikannya model generasi 992 yang paling ringan pernah dihasilkan.
Untuk mencapai penjimatan berat sebanyak 40 kg, Porsche telah menggunakan komponen plastik bertetulang gentian karbon pada hud, fender hadapan, pintu, bumbung, bar anti-oleng gandar belakang, serta panel ricih (shear panel) pada gandar belakang.
Selain itu, keempat-empat sudut dipasangkan rim magnesium 20 dan 21 inci, diikuti sistem PCCB, bateri pemula lithium-ion, kaca yang lebih ringan, pengurangan pada sistem insulasi serta sistem stereng gandar belakang yang telah dibuang.

Pakej diet turut merangkumi klac ringan yang unik, serta flywheel jenis jisim tunggal yang mampu mengurangkan jisim berputar sebanyak 10.5 kg, dan dikatakan mampu meningkatkan tahap responsif enjin boxer tersebut.
Disebabkan itu, pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.7 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 300 km/j.
Pengalaman pemanduan dipertingkatkan dengan sistem ekzos sports ringan standard.
Aspek aerodinamik 911 S/T ini dioptimasikan untuk kegunaan atas jalan umum, di mana ia didatangkan dengan kepak Gurney pada spoiler belakang secara standard.

Untuk ruang kabin, 911 S/T ini dibekalkan dengan tempat duduk bucket penuh CFRP atau opsyen Sports Seats Plus boleh laras empat tahap, sementara kluster instrumen dan pakej Sport Chrono dikemaskan dengan skema warna hijau klasik Porsche.
Terdapat penawaran pakej opsyen Heritage Design yang membolehkan pembeli melayangkan warna Shore Blue Metallic di luar, sementara rim pula berwarna putih Ceramica, diikuti dengan pilihan angka 0-99, serta lencana Porsche klasik.

Akhir sekali, pembeli boleh mendapatkan jam tangan Porsche Design Chronograph 1 - 911 S/T yang menampilkan binaan casis titanium, sistem pergerakan WERK 01.240, persijilan COSC, serta penutup belakang yang diinspirasikan daripada rekaan rim 911 S/T.
Untuk makluman, model 911 S/T tersebut akan dihasilkan sebanyak 1,963 unit sahaja.