
Walaupun lebih laju dan berkebolehan berbanding versi lumba, kereta ini sebenarnya sesuai untuk kegunaan harian.
Ian Callum, pereka terkenal dari Britain merekabentuk bahagian luar model lumba dan kembali semula bagi menghasilkan dalaman untuk Hunter.
Kereta ini dilengkapi paparan digital manakala konsol tengah ditempatkan pelbagai suis kawalan seperti kereta jalanan.

Kenapa Prodrive menghasilkan Hunter? Berikut jawapan yang diberikan Pengerusi Prodrive, David Richards.
"Ada sejumlah kereta hiper di pasaran, kereta tersebut bagaimanapun memerlukan jalan yang baik atau litar lumba bagi menunjukkan prestasinya.
"Kami mengenalpasti di sesetengah lokasi di dunia terutama sekali Timur Tengah, terdapat banyak kawasan yang masih belum diteroka dan menjangkau jalan raya biasa.
"Dengan itu, kenapa tidak dihasilkan sebuah kenderaan yang dapat memberikan peluang untuk menerokanya dengan prestasi yang belum pernah ditawarkan kenderaan off-road sebelum ini."

Dari segi spesifikasi, Hunter kekal dengan enjin model lumba termasuk rangkaian kuasa dan suspensi.
Cuma kotak gear manual sequential ditukar kepada gear enam kelajuan dengan paddle shift untuk tukaran gear lancar dan pantas.
Kereta ini tidak digunakan untuk perlumbaan seterusnya tidak terikat dengan peraturan perlumbaan dan sebab itu kuasanya boleh ditingkatkan lebih 50 peratus.
Enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar diperhalusi dan ditala semula oleh Prodrive dan kini menghamburkan 600 bhp dan tork 700 Nm dengan penghantaran kuasa lebih lancar dan senang untuk dipandu.

Prodrive menjangkakan pecutan 0-100 km/j tidak sampai empat saat dan kelajuan maksimum hampir 300 km/j.
Hunter dilengkapi roda off-road saiz 35 inci untuk cengkaman yang lebih di atas permukaan lasak dan berpasir berbanding jalan raya biasa.
Kereta ini dibina menggunakan casis kerangka ruang (space frame) dari besi tahan karat dan di dalamnya dipasangkan rangka keselamatan mengikut standard FIA.
Hunter menggunakan suspensi double wishbone dengan suspensi boleh laras berkembar yang mempunyai jarak 400mm atau peningkatan 50mm berbanding model lumba.
Tugas pembrekan diberi kepada angkup brek perlumbaan enam omboh.

Hunter direka untuk meminimumkan berat keseluruhan dan mengoptimumkan pembahagian berat dan pusat graviti.
Badannya diperbuat dari komposit karbon ringan termasuk bahan kitar semula yang dihasilkan oleh Prodrive Composites.
Apa yang lagi mengujakan?
Unit kenderaan pembangunan pertama sedang dibawa menjelajah Timur Tengah untuk dicuba oleh pelanggan termasuk pengesahan spesifikasi akhir unit produksi yang akan diserahkan beberapa bulan lagi!
Penulis: Muhammad Md Tajudin
