Proton New Energy Technology (PRO-NET) peroleh pinjaman RM200 juta

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) memperoleh pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank Bhd (CIMB) bagi pembiayaan inisiatif mobiliti hijau, import dan pengedaran kenderaan elektrik premium (EV) smart #1 di Malaysia.

PRO-NET adalah pengimport dan pengedar sah eksklusif untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.
AION MREC Banner Campaign May 2024

smart #1 adalah model pertama yang dijual oleh PRO-NET dan dibina di atas Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dan digayakan oleh Mercedes-Benz.

Ahli Lembaga Pengarah PRO-NET, Roslan Abdullah, berkata sokongan daripada CIMB terhadap peluang pasaran serta pendekatan proaktifnya dalam menyokong inisiatif pengembangan, membuktikan perkongsian yang diperlukan.

"Kami berterima kasih kepada CIMB atas peluang yang diberikan kepada PRO-NET dan PROTON untuk mengembangkan penawaran kami dan menyediakan pelbagai pilihan model EV bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang sentiasa berubah.

"Ini bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan kami, tetapi juga mengukuhkan keyakinan pelanggan dan memudahkan peralihan ke arah peningkatan penggunaan kenderaan elektrik," katanya.

Roslan berkata, PRO-NET akan menggunakan pembiayaan terbabit untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EVnya, selain mengembangkan rangkaian untuk pengalaman runcit yang lebih lancar.

"Langkah ini akan memudahkan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik, sejajar dengan objektif neutral karbon Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

PRO-NET dengan ekosistem yang komprehensif merangkumi 13 lokasi pengedar cawangan smart, perkhidmatan selepas jualan, serta aplikasi digital mesra pengguna yang dikenali sebagai 'Hello smart' untuk menyediakan akses kepada lebih 70 peratus rangkaian pengecasan awam.

Syarikat itu juga menawarkan penyelesaian mobiliti elektrik holistik bersama-sama dengan jaminan pelan perkhidmatan pelanggan yang mantap.

PRO-NET turut bertanggungjawab untuk memenuhi komitmen pengeluar kereta nasional PROTON terhadap agenda kenderaan elektriknya dan bersedia memainkan peranan penting apabila ia memimpin peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, kumpulan perbankan itu akan menyokong PRO-NET dalam memajukan inisiatif mobiliti hijau.

Katanya, urus niaga itu menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.

"Langkah ini selaras dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami," katanya.

CIMB telah melancarkan rangkaian penyelesaian kewangan EV yang komprehensif untuk merangsang penggunaan EV dan menyokong peralihan ke arah mobiliti mampan di seluruh ASEAN.

Penyelesaian itu merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk kadar pembiayaan kereta utama, perlindungan insurans, dan pelbagai keistimewaan eksklusif lain yang memudahkan pengguna dalam setiap aspek memiliki EV.

Sebagai perantara kewangan yang berusaha mencapai tujuan berkelanjutan, CIMB Group terus memperkukuhkan inovasi dalam kemampanan untuk mencapai sasaran kewangan mampan sebanyak RM100 bilion menjelang 2024 di bawah Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Hijau, Sosial, Impak Mampan (GSSIPS) kumpulan.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kerjasama itu membolehkan Public Bank mengantara muka dan memudahkan pendigitalan melalui…