Tambahnya lagi, projek yang dikendalikan oleh syarikat DreamEdge itu tidak akan dihentikan memandangkan kerajaan tidak terlibat secara langsung, apatah lagi membiayai projek tersebut seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini.
"Selagi pelabur swasta mahu meneruskan projek ini, ia akan tetap diteruskan, dan berdasarkan apa yang kami tahu, tiada sebarang berita yang menunjukkan projek ini akan dihentikan," ujar beliau.
DreamEdge dikhabarkan akan memperlihatkan secara rasmi prototaip kereta baharu pada acara Malaysia Autoshow yang dijadualkan berlangsung pada April ini.
Namun, ia ditangguhkan buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan wabak coronavirus yang masih belum reda buat masa ini.
Projek NNCP ini asalnya merupakan idea daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan sebuah lagi syarikat kenderaan nasional baharu sebelum DreamEdge diumumkan sebagai syarikat peneraju pada Ogos bulan lalu.
Model pertama - dikhabarkan merupakan sebuah sedan segmen B+ telah pun diperlihatkan buat kali pertama pada acara pengumuman Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) bulan lalu.
Menurut informasi, DreamEdge menjanjikan kereta pertama mereka mempunyai rekaan yang moden dan futuristik, pemanduan yang menyeronokkan, pengendalian yang baik serta mempunyai sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).
Aspek pembangunan platform kenderaan dan trenkuasa pula akan diketuai oleh rakan teknologi, Daihatsu.
Sumber: Paultan