Menurut Prasarana, operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi berbanding waktu sekarang iaitu dari jam 7.00 pagi sehingga 9.30 pagi.
Manakala operasi pada waktu puncak petang ditambah satu jam 30 minit bermula dari jam 4 petang sehingga 8 malam, berbanding 5 petang hingga 7.30 petang waktu sekarang.
Prasarana berharap perjalanan pengguna akan menjadi lebih lancar dengan penambahan dan peningkatan kekerapan tren.
“Diharapkan dengan inisiatif ini, ia akan menggalakkan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, kecuali perkhidmatan Rapid Bus di Kuantan, waktu puncak operasi bas di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk bas-bas perantara MRT akan turut diselaraskan mengikut jadual yang sama.
Prasarana berkata pihaknya turut membuka tiga mini bazar Ramadan di tiga stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai dan Stesen LRT Ampang Park sempena Ramadan ini.
Bagi pengguna di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati dan Stesen LRT Gombak, jualan makanan dan minuman berkonsepkan grab and go disediakan.