Lamborghini bukanlah tidak pernah menghasilkan sebuah sedan, malah sebelum ini pengeluar dari San'tAgata Bolognese itu telah pun menghasilkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai Lamborghini Estoque.
Memetik laporan daripada Autocar, model keempat itu dijangka akan menyertai Huracan, Aventador dan Urus namun ia tidak akan memakai mana-mana jantung utama yang sinonim dengan jenama Lamborghini.
Sebaliknya, sedan empat pintu itu akan mengadaptasi trenkuasa elektrik sepenuh masa dan dibangunkan menggunakan platform J1 - pelantar yang sama digunakan pada Porsche Taycan dan Audi E-Tron GT.
Setakat ini lampu hijau masih lagi belum dinyalakan oleh pihak atasan Lamborghini, namun menurut bos R&D Lamborghini, Maurizio Reggiani berkata, proses pembangunan sedan tersebut berkemungkinan besar akan bermula seawal tahun 2021.
Melihatkan kepada kemajuan teknologi pek bateri pada dua tiga tahun akan datang, tidak mustahil sedan Lamborghini ini mampu mencapai jarak operasi melebihi 500 kilometer untuk sekali cas penuh, serta kuasa pecutan sepantas 3 saat dari 0-100 km/j.
Tidak seperti barisan kereta sports yang dihasikan oleh Lamborghini, model baharu ini dijangka memakai pakej rekaan luaran yang lebih matang diinspirasikan daripada Estoque dan Urus.
Sumber: Autocar