Apex H2 tampil dengan rekaan yang cukup kemas, dimulakan dengan lampu utama yang nipis, penghadang angin yang minimalis serta penggunaan lengan ayun untuk kedua-dua roda depan dan belakang.
Di bahagian sisi pula menampilkan ruang seakan storan yang menempatkan bekas penyimpanan bahan api.
Namun, Apex H2 ini tidaklah menggunakan bahan api konvensional, sebaliknya bekas yang disebutkan tadi merupakan kanister storan bahan api hidrogen yang menyalurkan hidrogen kepada trenkuasa sel bahan api.
Tidak banyak perincian didedahkan, namun Apex H2 mempunyai kuasa setinggi 80 hp dengan pecutan 0-100 km/j bawah empat saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 150 km/j.
Walaupun dilihat seakan sebuah konsep, Apex H2 ini dijadualkan pelancaran rasminya pada tahun 2023 dengan harga jualan bermula dari $10,699 (RM44,267).